LONDON: Pengurus baharu Chelsea, Liam Rosenior menerima pelajaran segera mengenai cabaran di Stamford Bridge apabila menyaksikan pasukannya tewas 1-2 kepada Fulham, awal pagi tadi dengan memperbaiki rekod disiplin teruk menjadi keutamaannya.
Kamera televisyen terarah kepada Rosenior yang duduk di bangku penonton dengan wajah serius ketika pemain pertahanan Marc Cucurella dibuang padang selepas kad merah kerana kekasaran ke atas Harry Wilson, hanya selepas 22 minit perlawanan.
Kad merah itu adalah yang kelima buat Chelsea dalam liga musim ini, lebih dua kali ganda berbanding mana-mana pasukan lain, faktor utama mengapa mereka gagal memenuhi jangkaan selepas kemenangan Piala Dunia Kelab musim panas lalu.
Chelsea kini hanya menang sekali dalam sembilan perlawanan liga dan menduduki tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL).
Fulham memanfaatkan kelebihan perbezaan pemain dengan Raul Jimenez menjaringkan gol menerusi tandukan padu pada minit ke-55, sebelum Wilson menamatkan perlawanan pada minit ke-81, selepas Liam Delap membuka harapan Chelsea dengan jaringan sulung liga untuk kelab.
Jurulatih sementara Chelsea, Calum McFarlane – yang dinaikkan dari pasukan bawah 21 selepas Enzo Maresca meninggalkan jawatan pada 1 Januari lalu dan mengendali ketika seri 1-1 dengan Manchester City pada Ahad lalu – berkata kad merah itu menjadi titik perubahan perlawanan.
“Sebarang kad merah memberi kesan besar kepada perlawanan,” kata McFarlane kepada wartawan.
“Amat kecewa kerana kami baru hendak mula mendapatkan rentak, jadi ia berlaku pada masa yang amat buruk.”
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap tiga kad kuning yang diberikan kepada pemain Chelsea kerana membantah keputusan pengadil membuang padang Cucurella.
“Tiga kad kuning selepas itu adalah sesuatu yang perlu kami teliti,” kata McFarlane, yang sendiri turut menerima kad kuning kemudian kerana bertekak dengan pengadil.
Penyokong Chelsea yang membanjiri satu hujung Craven Cottage jelas menunjukkan rasa tidak puas hati mereka, meluahkan kemarahan terhadap salah seorang pemilik bersama, Behdad Eghbali yang menonton perlawanan bersama Rosenior, serta konsortium Clearlake Capital yang diasaskan bersama oleh ahli perniagaan warga Amerika itu.
Rosenior minggu ini menjadi pengurus tetap keempat Chelsea sejak kumpulan pelabur mengambil alih kelab pada 2022 apabila kerajaan Britain memaksa pemilik Russia, Roman Abramovich menjual kelab susulan pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine.
Pengurus berusia 41 tahun itu, yang menyertai Chelsea dari kelab “adik” mereka, Racing Strasbourg di Perancis akan memulakan penampilan sulung Sabtu ini apabila Chelsea menentang Charlton Athletic pada kempen Piala FA.
Kemudian menyusul perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga di laman sendiri menentang musuh London, Arsenal, Rabu minggu depan. – REUTERS

