‘Calon Pengerusi PN tak semestinya saya…’ – Abdul Hadi

MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang membayangkan beliau tidak akan memegang jawatan sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, PAS pusat akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pemilihan pengerusi PN itu pada minggu depan.

“Kita serahkan kepada PAS pusat untuk memilih calon, tetapi tidak semestinya saya…kita bersedia membantu sesiapa saja yang dipilih jawatankuasa tertinggi pada peringkat pusat,” katanya selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak memaklumkan tarikh mesyuarat terutama pemilihan pengerusi PN bagi menggantikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh yang melepaskan jawatan akhir bulan lalu.

Ketika diminta punca penangguhan mesyuarat, Abdul Hadi berkata, PN sudah ketiadaan Setiausaha Agung selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut meletakkan jawatan.

“Dia orang (jawatankuasa PAS pusat) terlalu sangat hendak bergantung kepada saya, tetapi tidak apalah, saya serahkan kepada pusat untuk memilih calon Pengerusi PN,” katanya.

Sementara itu, mengulas tawaran jawatan EXCO kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Abu Bakar Hamzah, Abdul Hadi berkata, parti sudah membuat keputusan untuk tidak membenarkan wakil rakyat menerima tawaran berkenaan.

Katanya, pendirian PAS untuk tidak menyertai pentadbiran Kerajaan Perlis sudah dinyatakan secara jelas dan diputuskan jawatankuasa tertinggi parti.

“PAS menganggap satu pengkhianatan menjatuhkan kerajaan pimpinan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli,” katanya.