Wanita warga emas ditemukan terapung dalam kolam tadahan

SHAH ALAM: Mayat seorang wanita warga emas ditemukan terapung di kolam tadahan air hujan di Seksyen U11, Bukit Bandaraya di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, berkata pihaknya menerima maklumat penemuan mayat jam 11.30 pagi daripada pemancing.

“Siasatan awal mendapati wanita warga tempatan berusia lingkungan 70-an dan dipercayai penduduk yang tinggal di taman berhampiran lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih 48 jam sebelum ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada hari sama kira-kira jam 6 petang, polis dihubungi ahli keluarga mangsa yang memaklumkan wanita berkenaan adalah kakak mereka dan tinggal bersendirian di kawasan berhampiran.

“Identiti mangsa disahkan dan jenazah telah dituntut oleh pihak keluarga. Punca kematian masih menunggu laporan lengkap makmal,” katanya.