Hulu Langat beri amaran, jangan buat maksiat di kawasan kami!

HULU LANGAT – Rata-rata wakil penduduk kampung di sini membantah keras penganjuran satu program didakwa mempromosikan budaya songsang yang akan diadakan di sebuah resort, pada minggu depan.

Bukan sahaja marah dan terkejut, mereka juga kesal kerana penganjuran program dinamakan ‘Glamping With Pride’ jelas menyalahi undang-undang dan norma masyarakat negara ini apatah lagi dianjurkan di kampung yang majoriti beragama Islam.

Ketua Kampung Kampung Batu 18 Kampung Jawa, Mohammad Firdauz Mohd Ayob berkata, penganjuran program itu langsung tidak masuk akal dan beliau yakin pengusaha calet di sini tidak akan membiarkan ianya berlaku sekaligus merosakkan perniagaan mereka.

“Penganjuran ini amat memeranjatkan kami. Pertama sekali, kita kena sedar, ini kawasan Melayu dan majoriti beragama Islam. Yang ada pun yang bukan Islam pun mungkin kawasan-kawasan orang Asli dan mereka pun ramai yang sudah Islam sekarang ini.

“Saya rasa perkara ini memang tidak masuk akal. Satunya, tak relevan dan tidak mungkin perkara ni boleh dibuat di salah sebuah glamping zone atau pun pusat peranginan yang ada dalam kawasan kita ini.

“Tidak mungkin pengusaha-pengusaha calet akan membiarkan perkara ini dibuat dalam kawasan perniagaan mereka dan yang pastinya akan membawa kesan buruk kepada mereka nanti pada masa depan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular laporan mendedahkan, program itu dianjurkan oleh kumpulan pro lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) yang dikenali sebagai Jejaka dan digambarkan sebagai satu pemukiman berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.

Menurut penganjur, aktiviti selama dua hari itu hanya melibatkan perkhemahan di lokasi berdaftar dan didakwa tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.

Justeru penganjur menegaskan akan tetap meneruskan program tersebut walaupun menerima kritikan.

Semalam, Polis Kajang tampil memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur sekiranya program Glamping With Pride yang dirancang itu diteruskan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran program berkenaan.

“Justeru, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu 21 Kampung Sungai Lui, Mohd Razak Jalaludin, pihaknya memberi amaran keras kepada penganjur agar membatalkan sahaja penganjuran program itu.

Tegas, sejak laporan program itu tular, beliau dan wakil penduduk lain sudah mula melakukan siasatan untuk mengesan mana-mana pengusaha calet terbabit di sini yang sanggup bekerjasama dengan penganjur program itu.

“Sesekali kami tidak akan benarkan dan sebagai ketua kampung, saya akan pastikan benda ini tidak akan berlaku.

“Jadi nasihat kepada penganjur, kalau boleh tarik penganjuran program itu dan jangan buat di mana- mana tempat sekali pun,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Batu 20 Kampung Sungai Lui Kamarulzaman Abdullah berkata, penganjuran program itu perlu ditentang habis-habis kerana ia melibatkan isu maksiat dan moral di kawasan itu.

Ini kerana kata beliau, pihaknya telah cuba menyamar untuk mendaftar sebagai peserta di borang yang disediakan dan jelas sekali program itu bukan sekadar kempen kesedaran HIV.

“Ada salah seorang daripada penduduk sudah membuka borang pendaftaran dan dari situ penganjur tunjukkan bahawa mereka bukan ke arah untuk kempen kesedaran HIV.

“Dia lebih kepada kempen untuk LGBT. Contohnya dalam orang itu dia tulis, anda ingin tidur bersama gender atau bukan gender. Itu pun kita sudah nampak.

“Jadi harapnya benda ini tidak akan berlaku di Sungai Lui, Hulu Langat dan di mana-mana pun di negara ini.

“Program ini jelas nampak negatif dan nasihat terakhir saya dan sebagai wakil kepada penduduk kampung Sungai Lui, kita jauhilah daripada gejala yang tidak baik ini.

“Ini bukan budaya dan bukan kehidupan kita di luar naluri manusia. Binatang pun tahu hendak cari pasangan. Apalagi kita sebagai manusia, baliklah ke pangkal jalan,” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber Dari : MalaysiaGazette