MUAR – Polis menahan sembilan individu termasuk dua wanita kerana menjadi keldai akaun menerusi satu operasi bersepadu melibatkan pelbagai kes penipuan dalam talian, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, sembilan suspek berkenaan merupakan warga tempatan yang berusia antara 24 hingga 59 tahun.
“Ini melibatkan tujuh lelaki dan dua wanita. Mereka ditangkap bagi membantu siasatan kes melibatkan kegiatan penipuan dengan kerugian mangsa lebih RM781,000.
“Berdasarkan hasil soal siasat awal, penglibatan suspek dengan akaun yang digunakan dalam aktiviti penipuan ini dikesan berlaku dalam tempoh sekitar Disember 2024 hingga Oktober 2025.
“Semuanya bergantung kepada peranan dan kes masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, siasatan awal mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan mendapati semua suspek berperanan sebagai keldai akaun (mule account).
“Suspek ini disyaki menyerahkan kad ATM serta butiran perbankan kepada sindiket penipuan atas talian yang menggunakan akaun itu sebagai medium penerimaan wang hasil penipuan daripada mangsa.
Katanya, smua suspek akan ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut serta mengesan rangkaian sindiket yang terlibat.
Tambahnya, perbuatan menyerahkan akaun bank, kad ATM atau maklumat peribadi kepada mana-mana pihak merupakan satu kesalahan serius walaupun individu terbabit mendakwa tidak menerima sebarang keuntungan.
“Kita akan terus mempergiat operasi risikan, pengesanan dan tangkapan terhadap mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti penipuan, termasuk mereka yang menjadi penyedia akaun kepada sindiket,” ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan tawaran dalam media sosial serta segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penipuan.- MalaysiaGazette

