KUALA LUMPUR – Seorang guru besar dan isterinya yang juga seorang jururawat ditemukan mati di dalam bilik tidur rumah mereka di sebuah taman perumahan di Sri Aman, Sarawak hari ini.
Mayat pasangan suami isteri itu ditemui oleh anak mereka sendiri yang sedang bersiap untuk ke sekolah sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Difahamkan, maklumat awal yang tular mengaitkan kematian kedua-dua mangsa dengan kes bunuh, namun setakat ini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak polis berhubung punca sebenar kematian.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam ketika dihubungi media mengesahkan penemuan mayat tersebut, namun memaklumkan kenyataan lanjut akan dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak.
“Untuk makluman, Datuk Pesuruhjaya Polis Sarawak akan memberi kenyataan akhbar berkaitan kes bunuh di Sri Aman hari ini,” katanya ringkas.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menerusi hantaran di Facebook merakamkan ucapan takziah atas pemergian seorang guru besar di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu, Andy Roy Anak Junran.
Menurut jabatan itu, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar kepada dunia pendidikan negeri.
“Jabatan ini kehilangan seorang pemimpin sekolah yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas dan amanah bagi meningkatkan serta memartabatkan pendidikan negara.
“Semoga mendiang bersemadi dengan aman dan keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan serta ketabahan,” menurut hantaran itu. –MalaysiaGazette

