Penghuni akur perobohan binaan haram di Kg Chubadak Tambahan

SENTUL – Operasi merobohkan binaan haram di Kampung Chubadak Tambahan hari ini berjalan lancar dan terkawal dengan penglibatan lebih 300 anggota pelbagai agensi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata, tindakan itu diambil susulan pelaksanaan perintah mahkamah yang dikeluarkan sebelum ini.

“Pihak polis melaksanakan penugasan membantu pihak mahkamah dalam tindakan perobohan premis-premis di Kampung Chubadak Tambahan.

“Setakat ini, tiada sebarang bantahan atau provokasi daripada mana-mana pihak sepanjang operasi dijalankan,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Menurut beliau, seramai 206 pegawai dan anggota digerakkan dan dibahagikan kepada enam zon penugasan mengikut kelompok rumah yang dikenal pasti untuk dirobohkan.

Ahmad Sukarno berkata, perintah pengosongan telah dikeluarkan oleh mahkamah pada 5 Disember 2025, diikuti notis pengosongan dalam tempoh 14 hari sebelum tindakan perobohan dilaksanakan hari ini, 14 Januari 2026.

“Setakat ini penghuni akur, cuma ada penghuni yang melantik peguam di kawasan zon 4 untuk tindakan lanjut pihak mereka sama ada apa kehendak mereka ini akan diputuskan oleh mahkamah.

“Dengan kerjasama baik daripada penghuni serta kawalan keselamatan yang ketat, pihak kami menjangkakan operasi ini akan selesai menjelang tengah hari atau awal petang,” jelasnya.

Menurut beliau, operasi perobohan turut melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Media sebelum ini melaporkan, operasi tersebut dijalankan menerusi perintah penghakiman penyerahan milikan kosong yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia merupakan langkah penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang aktiviti pembinaan dan pendudukan tidak sah yang dikenal pasti berlaku di kawasan berkenaan.

Pelaksanaan perintah berkenaan bertujuan memastikan pematuhan undang-undang terhadap struktur binaan haram, premis tanpa kelulusan serta pencerobohan kawasan yang menyalahi peruntukan undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette