KAHERAH: Pelan gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang Israel-Hamas di Gaza kini memasuki fasa kedua.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Perunding Washington semalam, ketika puak-puak Palestin bersetuju mengenai pembentukan jawatankuasa tadbir urus pasca perang.
Utusan Presiden AS, Donald Trump, Steve Witkoff, menulis di platform X, fasa kedua pelan 20 perkara yang dikemukakan pemimpin AS itu akan mengalihkan wilayah Palestin itu daripada gencatan senjata kepada penghapusan ketenteraan, tadbir urus teknokratik dan pembinaan semula.
Di bawah pelan yang dimeterai pada Oktober lalu, Gaza akan ditadbir oleh sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin beranggotakan 15 orang di bawah penyeliaan badan digelar sebagai ‘Lembaga Keamanan’ yang akan dipengerusikan sendiri oleh Trump.
Mesir memaklumkan semua anggota jawatankuasa itu sudah dipersetujui oleh semua puak Palestin, yang segera menyatakan sokongan mereka.
Bekas timbalan menteri Palestin, Ali Shaath, dinamakan untuk mengetuai badan berkenaan, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pihak pengantara Mesir, Turkiye dan Qatar.
Bagaimanapun, nama-nama anggota lain tidak didedahkan.

Bercakap pada sidang media di Kaherah, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, berkata beliau berharap jawatankuasa itu dapat segera ditempatkan di Gaza bagi mengurus kehidupan harian dan perkhidmatan asas.
Terdahulu, seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP, kumpulan itu sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengantara di Kaherah bagi membincangkan pembentukan jawatankuasa berkenaan serta mekanisme operasinya.
Kemudian, puak-puak Palestin termasuk Hamas dan Jihad Islam, dalam satu kenyataan bersama berkta mereka menyokong usaha pihak pengantara untuk membentuk apa yang digelar sebagai Jawatankuasa Peralihan Nasional Palestin.
Mereka juga berjanji akan membantu mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi membolehkan badan itu memulakan tugasnya.
Kepimpinan Palestin yang berpangkalan di Ramallah turut mengumumkan sokongan mereka menerusi media rasmi, dengan seorang sumber dari pejabat berkenaan memberitahu AFP bahawa kenyataan itu mencerminkan pendirian gerakan Fatah kerana Presiden (Mahmud) Abbas juga adalah ketua Fatah.
Hamas sebelum ini berulang kali menegaskan ia tidak berhasrat memegang sebarang peranan dalam mana-mana pihak berkuasa tadbir urus pada masa depan di wilayah Palestin.
Sebaliknya, Hamas akan mengehadkan peranannya kepada pemantauan tadbir urus bagi memastikan kestabilan serta memudah cara usaha pembinaan semula.

Di Kaherah, rundingan dengan pengantara Mesir menumpukan pengunduran tentera Israel dari Gaza, pembukaan semula pintu masuk Rafah, kemasukan bantuan yang kini bertimbun di bahagian sempadan Mesir, serta persiapan untuk melancarkan fasa kedua pelan gencatan senjata, kata seorang pegawai Hamas.
Israel menyatakan ia tidak akan memulakan rundingan mengenai fasa kedua gencatan senjata sehingga pelepasan mayat tebusan terakhir yang masih ditahan di Gaza, Ran Gvili.
Sementara itu, pegawai kanan Hamas, Taher al-Nunu, memberitahu AFP bahawa kumpulan itu mengalu-alukan pengumuman Witkoff, sambil menambah bahawa ‘semua kumpulan akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan kejayaan kerja-kerja jawatankuasa berkenaan’.
Fasa kedua pelan gencatan senjata itu juga dijangka merangkumi pelucutan senjata Hamas, sesuatu yang sekian lama ditolak oleh kumpulan berkenaan.
Lembaga Keamanan yang dicadangkan oleh AS dijangka dipimpin di lapangan oleh diplomat dan ahli politik Bulgaria, Nickolay Mladenov, yang baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan pegawai Israel dan Palestin.
Laporan media menyebut Trump dijangka mengumumkan ahli-ahli Lembaga Keamanan itu dalam beberapa hari akan datang, dengan badan berkenaan dijangka dianggotai kira-kira 15 pemimpin dunia. – AFP

