Real Madrid dikejutkan kelab divisyen dua dalam Copa del Rey

ALBACETE, Sepanyol: Jefte Betancor meledak dua gol ketika muncul wira apabila pasukan divisyen kedua Albacete menundukkan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid 3-2 pada aksi 16 terakhir Copa del Rey, awal pagi tadi dalam penampilan sulung Alvaro Arbeloa sebagai pengurus.

Di tengah kabus malam di Stadium Carlos Belmonte, 17,000 penyokong tuan rumah mewujudkan suasana elektrik ketika Albacete mengejutkan kuasa besar Eropah itu, yang baru saja memecat pengurus Xabi Alonso minggu lalu.

Bekas pemain pertahanan Real, Arbeloa yang mengambil alih selepas pemecatan Alonso, menurunkan kesebelasan kedua dan bergelut menembusi pertahanan lawan manakala kabus tebal menambahkan dramatik perlawanan.

Beberapa pemain bintang seperti Kylian Mbappe, Jude Bellingham, Rodrygo, Thibaut Courtois dan Aurelien Tchouameni tidak diturunkan.

Arbeloa turut menyenaraikan pertahanan kanan David Jimenez dan pemain tengah Jorge Cestero dari pasukan simpanan Castilla, manakala Vinicius Jr menjadi fokus serangan.

Malam itu bermula dengan buruk apabila penyokong di luar stadium mengejek Vinicius dengan ejekan berbaur perkauman. Sepanjang perlawanan, Vinicius disorak dan dikawal ketat di sayap kiri, sukar mencetus impak.

Albacete membuka tirai jaringan pada minit ke-42 hasil tekanan bertali arus. Sepakan penjuru Jose Lazo menemui Javier Villar di tiang gol, dengan pertahanan itu menanduk masuk melepasi penjaga gol gantian Real, Andriy Lunin.

Namun kegembiraan itu tidak lama apabila Real menyamakan kedudukan sebelum separuh masa selepas Vinicius memenangi sepakan penjuru, yang diambil Arda Guler ke dalam kotak enam ela.

Dean Huijsen menanduk, diselamatkan cemerlang oleh Raul Lizoain, namun Franco Mastantuono pantas menampan masuk untuk gol penyamaan.

Albacete kembali mendahului pada minit ke-82. Rembatan Agus Medina dari luar kotak ditepis Lunin, tetapi sepakan penjuru susulan gagal dikeluarkan pertahanan Real, membolehkan Betancor yang tidak dikawal menanduk masuk gol.

Real Madrid menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi tandukan Gonzalo hasil hantaran Guler untuk 2-2, namun ketika mereka cuba menyerang mencari gol kemenangan lewat, pertahanan mereka terdedah dan Betancor menyumbat masuk gol kemenangan tuan rumah.

“Kami berada di tahap paling rendah; kami tewas kepada pasukan divisyen kedua,” kata kapten Real, Dani Carvajal.

“Apabila kalah, kami harus menghadapinya dan itulah yang perlu kami lakukan sekarang. Kami, pemain bertanggungjawab sepenuhnya. Tiada banyak yang boleh saya katakan.” – REUTERS