KUALA TERENGGANU: Ketakutan selepas digertak kononnya terbabit dalam kes pengubahan wang haram, seorang ahli perniagaan kerugian hampir RM3 juta selepas menurut kehendak scammer.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata mangsa lelaki berusia 64 tahun telah diperdaya sindiket phone scam yang memperkenalkan diri sebagai polis dan Timbalan Pendakwa Raya.
Scammer memberitahu bagi menyelesaikan pembabitan mangsa dalam kes pengubahan wang haram berkenaan, sejumlah wang sebanyak RM2,707,965 perlu berada dalam akaun mangsa.
“Ahli perniagaan itu kemudian membuat 55 pindahan secara dalam talian dan deposit tunai kepada lima akaun bank untuk menyelesaikan pembabitannya dalam kes pengubahan wang haram,” katanya.
Beliau berkata, segala urusan dilakukan melalui panggilan telefon oleh sindiket terhadap mangsa.
Katanya, mangsa tidak dibenarkan untuk memeriksa atau melakukan apa-apa transaksi menggunakan akaun bank bermula dari September tahun lalu hingga pertengahan bulan ini. Keseluruhannya mangsa kerugian RM2,707,965.

