,

Suami sempat hantar mesej kepada isteri sebelum maut dalam kemalangan di Thailand

PONTIAN – Isteri kepada Izzat Izzuddin Onn, 39, yang terkorban selepas motosikal ditunggang kemalangan di daerah Chaiya, Thailand, semalam menerima mesej daripada suaminya kira-kira setengah jam sebelum tragedi berkenaan berlaku.

Siti Fatimah Md Desah, 39, yang bekerja sebagai jurutera berkata, suaminya berkongsi status penjejak lokasi langsung (live location) iaitu kawasan berhampiran Surathani, Thailand.

“Tidak sampai setengah jam selepas itu, saya dapat panggilan suami terlibat nahas. Suami menghantar live location itu sebelum memulakan perjalanan pulang ke Malaysia selepas melakukan tunggangan solo atau ride sejak seminggu lalu.

“Suami juga sempat berkongsi foto menu sarapan pada pukul 9 pagi, sebelum kongsi live location dengan saya. Tidak lama selepas itu, ejen insurans telefon maklumkan suami terlibat nahas dan minta saya ke Thailand,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Semerah di sini hari ini.

Siti Fatimah berkata, susulan itu, dia menaiki naik kapal terbang dari Senai, Johor Bahru pada sebelah petang dan tiba Hatyai pada tengah malam tadi.

Jelas Ibu kepada dua cahaja mata itu, jenazah arwah dituntut selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Chaiya, Thailand sebelum dibawa ke sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah pukul 11 malam.

“Jenazah kemudiannya dibawa ke sebuah masjid di Sungai Petani, Kedah untuk urusan kafan sebelum dibawa pulang ke Pontian pada pukul 2.30 pagi tadi.

“Syukur urusan membawa pulang jenazah dipermudahkan dengan bantuan pelbagai pihak,” katanya.

Siti Fatimah memberitahu, suaminya yang seorang yang penyayang dan sering mendahulukan kedua-dua anak mereka iaitu Muhammad Danie, 6, dan Muhammad Daniel berusia empat tahun.

Sementara itu, rakan baik arwah, Khairulnizam Ramli, 39, menyifatkan pemergian arwah amat dirasai dalam kalangan rakan-rakan ride di Pontian.

“Arwah bekerja sebagai penyelia di Singapura, gemar menunggang motosikal dan sering menyertai aktiviti ride. Kali terakhir saya bersama arwah ride ke Yala dan Narathiwat Thailand, dua tahun lalu.

“Pada Julai tahun lepas, arwah ada melakukan ride solo ke Krabi, Thailand,” ujarnya.

Sebelum itu, Izzat Izzuddin dilaporkan terkorban selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah trak pikap di daerah Chaiya, Thailand semalam.

Menurut laporan Balai Polis Chaiya, kejadian berlaku pukul 9.15 pagi waktu tempatan apabila sebuah trak pikap Toyota dipandu penduduk tempatan dilaporkan menyeberang dari arah kiri jalan ke laluan pusingan U sebelum merempuh motosikal mangsa.- MalaysiaGazette