Kapasiti rawatan air LRA Kogopon ditingkatkan serta merta – Armizan

KUALA LUMPUR: Kapasiti rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, Sabah sedia ada ditingkatkan serta merta sebanyak 10 peratus sehingga projek Kogopon 2 siap.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah itu diambil susulan gangguan bekalan semakin serius di Mukim Kinarut/Kawang memandangkan projek naik taraf LRA Kogopon sedang berjalan dan dijangka siap Ogos ini.

Beliau berkata, kapasiti tambahan ini kelak akan disalurkan terus dari tangki utama P1 (Kogopon) kepada P3 (Mukim Kinarut/Kawang) sebagai bekalan tambahan untuk menampung keperluan kritikal di mukim terbabit.

“Bagi melaksanakan langkah mitigasi peningkatan kapasiti rawatan 10 peratus ini, kerja-kerja yang terbabit adalah penyambungan silang rangkaian paip sedia ada dari P1 ke P3 di dua kawasan, penggantian injap di Intake LRA Kogopon sedia ada dan penggantian pam air di loji sedia ada.

“Kerja-kerja di lapangan berterusan 24 jam sehari kecuali hujan lebat berlaku dan ia sudah pun bermula pada 9 Januari lalu sehari selepas mesyuarat dilakukan dengan keseluruhan proses disasarkan selesai pada 24 Januari ini,” katanya menerusi perkongsian hantaran di laman sosialnya, di sini, hari ini.

Kerja penyambungan silang

Terdahulu beliau bersama Ahli Dewan Undangan (ADUN) Limbahau dan pegawai daerah meninjau status kemajuan kerja-kerja penyambungan silang antara rangkaian paip dari tangki utama P1 LRA Kogopon terus kepada rangkaian paip tangki utama P3 di Kawang.

Taklimat juga sudah diberikan oleh jurutera air Papar dan pihak kontraktor.

Kerja penyambungan silang paip P1 terus kepada P3 ini adalah susulan daripada keputusan mesyuarat khas membincangkan isu gangguan serius bekalan air di Mukim Kinarut/Kawang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri pada 8 Januari lalu.

Penyambungan silang ini akan dapat mengurangkan jarak pembekalan air dari P1 ke P3 daripada 33 kilometer (km) kepada 10.3km.

Armizan berkata, proses penggantian injap akan memerlukan loji ditutup sementara untuk tempoh lebih kurang 10 jam bermula lewat malam pada 20 Januari ini, tertakluk kepada keadaan cuaca.

“Kita mengharapkan dengan adanya langkah mitigasi serta merta ini, gangguan bekalan air serius di Mukim Kinarut/Kawang akan dapat ditangani sekali gus menyelesaikan isu catuan sejak sekian lama sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai dengan siapnya LRA Kogopon 2.

“Proses penutupan sementara loji yang dijangka memberikan kesan kepada beberapa kawasan dalam daerah Papar akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dalam masa terdekat.

“Kita ikhtiarkan sehabis baik untuk menghentikan kesusahan yang dihadapi penduduk setempat sejak sekian lama,” katanya.