RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud
berusia 90 tahun, dibenarkan keluar daripada hospital selepas menjalani ujian perubatan di ibu kota negara itu yang menunjukkan keputusan ‘memuaskan’.
Menurut kenyataan Istana Diraja Saudi yang disiarkan melalui media rasmi, Raja Salman dibenarkan keluar dari Hospital Pakar King Faisal di Riyadh semalam (Jumaat) selepas ujian perubatan menunjukkan keputusan memuaskan’ dengan pihak istana sebelum itu terlebih dahulu mengumumkan kemasukan baginda ke hospital pada hari sama.
Arab Saudi, negara pengeksport minyak mentah terbesar dunia telah bertahun-tahun berusaha menamatkan spekulasi mengenai kesihatan Raja Salman.
Baginda mulai menaiki takhta sejak 2015, walaupun anakandanya, Putera Mohammed bin Salman dinamakan sebagai Putera Mahkota pada 2017 dan berperanan sebagai pemerintah ‘de facto’.
Kesihatan baginda jarang dibincangkan secara terbuka, namun Raja Salman pernah dimasukkan ke hospital untuk pembedahan dan melalui pelbagai ujian perubatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2024, Istana Diraja Arab Saudi melaporkan baginda mengalami jangkitan paru-paru, namun sudah pulih.
Menurut laporan Agensi Berita Rasmi Saudi (SPA), pada Mei 2022 baginda dimasukkan ke hospital untuk menjalani kolonoskopi dan dirawat lebih seminggu bagi menjalani ujian lain serta ‘berehat seketika’.
Selain itu, menurut media rasmi, baginda pada Mac 2022 dimasukkan ke hospital untuk menjalani ujian perubatan berjaya dan menukar bateri alat pacemaker.
Sebelum itu, pada 2020, Raja Salman menjalani pembedahan bagi membuang pundi hempedu. – AFP

