TAWAU: Usia sudah 63 tahun, namun seorang lelaki di sini tidak serik dengan dadah apabila ditahan polis di Jalan Apas, di sini semalam.
Suspek ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah selepas lelaki itu dilihat berkeliaran dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik kecil mengandungi plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat kira-kira 0.20 gram.
“Dadah itu disembunyikan dalam pakaiannya. Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Jasmin berkata, rekod mendapati lelaki berkenaan terbabit beberapa kes berkaitan dadah dan jenayah sebelum ini.
“Kes terbaharu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

