KUALA LUMPUR – Pelaksanaan matriks pembelajaran bermula Tahun Empat bukan satu sistem peperiksaan berisiko tinggi sebaliknya bertujuan menilai perkembangan murid secara lebih menyeluruh.
Ia juga memberi ruang intervensi dan pengukuhan awal, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, ibu bapa dan guru tidak perlu panik atau berasa tertekan kerana matriks pembelajaran itu bukan sistem peperiksaan yang menekan murid sebaliknya satu kaedah pengukuran pembelajaran yang lebih luas dan fleksibel.
“Matriks pembelajaran ini sangat penting, tetapi saya minta ibu bapa dan guru-guru jangan panik. Ia bukan peperiksaan yang perlu ditekan-tekan kepada anak-anak. Kita ada masa dan ruang untuk intervensi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di sini hari ini.
Majlis peluncuran itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan turut dihadiri barisan Jemaah Menteri.
Fadhlina menjelaskan, pelaksanaan matriks pembelajaran di peringkat Tahun Empat bertujuan membolehkan penilaian awal dilakukan sekaligus memberi tempoh dua tahun untuk intervensi sekiranya terdapat kelemahan sebelum murid melangkah ke sekolah menengah.
“Tujuan keseluruhannya ialah intervensi, pengukuhan dan mendukung kurikulum baharu. Ia bukan semata-mata peperiksaan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, pelaksanaan matriks pembelajaran oleh Lembaga Peperiksaan tidak bermaksud ia merupakan peperiksaan berimpak tinggi sebaliknya, bagi memastikan keyakinan awam terhadap penilaian yang dijalankan.
“Kita perlukan satu badan yang dipercayai rakyat untuk menilai semua ini. Sebab itu ia dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan,” ujarnya.
Matriks pembelajaran tersebut dijadualkan bermula Oktober ini bagi memastikan semua keputusan dan penilaian dapat diselesaikan sebelum cuti sekolah sekali gus memberi ruang kepada ibu bapa dan guru menilai prestasi murid serta merancang pengukuhan di Darjah Lima dan Enam.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut menyentuh isu kemasukan murid ke Darjah Satu pada usia lebih muda yang menurutnya bertujuan memberi peluang pendidikan awal kepada kanak-kanak yang telah bersedia.
“Potensi anak-anak perlu digerakkan lebih awal. Lebih awal mereka masuk sekolah, lebih banyak peluang pendidikan yang mereka peroleh,” katanya sambil menegaskan, ibu bapa perlu mengenal pasti tahap kesediaan anak sebelum membuat keputusan tersebut. – MalaysiaGazette

