KUALA LUMPUR – Dua lelaki bertopi keledar diburu polis selepas melarikan 15 dulang emas dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai emas di dalam pasar raya Bandar Baru, Nilai, Negeri Sembilan semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Johari Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden samun itu pada pukul 8.30 malam membabitkan kerugian sebanyak RM60,000.
“Siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek bertindak melarikan barang kemas membabitkan cincin, loket, gelang dan rantai dengan menggunakan beg penghantar barang.
“Manakala salah seorang suspek dipercayai menggunakan senjata api jenis pistol namun tiada sebarang tembakan
dilepaskan atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
“Pemeriksaan awal mendapati ketika kejadian terdapat dua pekerja di dalam kedai emas itu dan tiada pelanggan, ” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah Johari, hasil maklumat awal kedua-dua suspek disyaki warga tempatan dengan bertutup muka serta memakai topi keledar dan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru.
Berikutan itu, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

