Nasib baik tiada kanak-kanak bermain luar rumah ketika kemalangan – Penduduk

JOHOR BAHRU – Nasib baik tiada kanak-kanak bermain di luar rumah ketika kemalangan berlaku.

Itu kelegaan para penduduk Jalan Permas 1 di Taman Permas Jaya di sini ekoran kemalangan lima kenderaan depan rumah mereka semalam.

Mohamad Alif Najzmee Mohamed Ramdzan Shah, 25, berkata, biasanya kanak-kanak dari kejiranan tersebut akan bermain depan rumah pada waktu petang.

“Saya tidak dapat bayangkan sekiranya kejadian berlaku ketika kami berada di rumah kerana anak-anak biasa bermain di halaman rumah.

“Saya terkejut melihat tiga kereta termasuk dua milik jiran mengalami kerosakan selain sengkuap rumah sewa kami runtuh,” katanya ketika ditemui.

Kemalangan tersebut berlaku pukul 4.10 petang membabitkan empat kereta, sebuah motosikal dan sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dilaporkan berkata, kemalangan berpunca apabila seorang pemandu e-hailing hilang kawalan semasa mengelak anjing melintas di jalan tersebut.

Pemandu berkenaan kemudian merempuh empat kenderaan dan sengkuap sebuah rumah di Taman tersebut hingga roboh. Dia berkata, kejadian berlaku pukul 4 petang apabila sebuah kereta terbabas sebelum merempuh dua kereta milik jirannya selain sengkuap rumah sewanya.

Kejadian tersebut mengakibatkan penunggang motosikal mengalami cedera ringan di beberapa bahagian badan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bercerita lanjut, dia berkata, kejadian berlaku selang setengah jam selepas dia sekeluarga keluar dari rumah untuk membeli barangan kelengkapan sekolah anaknya.

“Nasib saya tergerak hati untuk keluar rumah pada pukul 3.30 petang bagi membeli kelengkapan sekolah anak walaupun pada awalnya kami merancang untuk pergi pada waktu malam.

“Saya terkilan apabila hanya selang setengah jam kami menerima panggilan daripada rakan menyatakan ada kereta yang terbabas di hadapan rumah,” katanya.

Dia kemudian bergegas pulang ke rumah sebelum mendapati ramai berkumpul di hadapan rumahnya.

Menurutnya, walaupun ia kediaman sewa, kejadian itu meninggalkan kesan kepada keluarga dan jiran-jiran yang khuatir dengan keselamatan penduduk tinggal di deretan rumah ini.

“Laluan di hadapan rumah ini adalah antara laluan sibuk di kawasan perumahan ini kerana antara laluan utama di sini dan sepatutnya ciri-ciri keselamatan jalan perlu ditingkatkan,” katanya.

Mohamad Alif Najzmee tidak pasti punca kejadian itu berlaku namun mengakibatkan pemilik rumah sewa itu selain jiran-jirannya terpaksa menanggung kerugian.

Dia berharap individu yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu diambil tindakan sesuai.

“Ia membabitkan kepentingan dan keselamatan ramai, kejadian itu seharusnya dipandang serius. Saya membuat laporan polis di cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan selain difahamkan jiran turut membuat laporan polis,” katanya.- MalaysiaGazette