Lelaki tikam majikan hingga mati tak puas hati bayaran bonus

TOKYO: Polis Jepun menahan seorang lelaki berusia 45 tahun baru-baru ini, selepas didakwa menikam majikannya hingga maut akibat pertikaian bonus di tempat kerja, lapor MS News.

Masahiro Yamanaka ditahan pada 9 Januari kerana didakwa menikam Akihiro Kawashima, 44, lebih 10 kali di pangsapuri mangsa di Ota Ward, di sini.

Difahamkan, Kawashima adalah presiden sebuah syarikat peralatan audio di mana Yamanaka bekerja sebagai ketua jualan.

Menurut Jabatan Polis Metropolitan, kedua-dua lelaki itu rakan sekelas di sekolah menengah dan berkawan lama sebelum menjadi majikan dan pekerja.

Polis berkata, semasa soal siasat, Yamanaka mengaku menikam Kawashima, tetapi mendakwa tidak berniat membunuh.

“Saya berasa tidak puas hati dengan sikapnya,” kata Yamanaka kepada penyiasat.

Dia menambah, ketika menyuarakan pendapat, Kawashima menjadi marah dan mereka bergaduh.

Penyiasat berkata, Yamanaka membawa sebilah pisau buah-buahan dan menikam Kawashima pada leher, paha serta bahagian lain tubuhnya.

“Dia mengaku turut menyembur racun serangga ke muka mangsa sebelum meneruskan serangan ketika mangsa cuba melarikan diri.

“Mangsa mengalami lebih 10 luka tikaman dan kami percaya terdapat niat kuat untuk membunuh berdasarkan sifat kecederaan,” kata penyiasat.

Tambahnya, tompok darah ditemukan di seluruh pangsapuri, termasuk ruang makan, lorong dan bilik mandi, manakala rakaman kamera keselamatan menunjukkan Yamanaka menukar pakaian sebelum dan selepas serangan.

Pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian bersama pisau buah-buahan ditemukan dibuang di tempat kutipan sampah dan kini menjalani pemeriksaan forensik.

Polis juga mendedahkan Yamanaka berasa tidak puas hati kerana bonus yang sebelum ini bersamaan 1.5 bulan gaji dikurangkan kepada sebulan tanpa penjelasan, dipercayai menjadi punca dia memendam rasa terhadap gaji dan layanan terhadapnya di syarikat.