‘Patuh titah Agong, peraturan mesyuarat’ – Johari Abdul beri peringatan kepada Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya memainkan peranan dengan baik seperti titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semalam.

Meminta Ahli Parlimen sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang persidangan, Johari menegaskan, beliau dan timbalan tidak teragak-agak mengambil tindakan jika ada yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat.

“Saya berharap Ahli Yang Berhormat memegang teguh prinsip kesopanan dan kesusilaan seperti yang diikrarkan apabila berada dalam Dewan yang mulia ini dalam setiap tindakan dan ucapan.

“Titah Yang di-Pertuan Agong semalam memberi peringatan mengenai peranan Ahli Yang Berhormat. Oleh itu, saya sekali lagi mengingatkan Ahli Yang Berhormat untuk sentiasa mematuhi peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Saya dan timbalan akan mengambil tindakan jika Ahli Yang Berhormat tidak mematuhi peraturan Mesyuarat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim melalui Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, mengingatkan semua Ahli Parlimen dan penjawat awam supaya tidak menjadi pengkhianat negara dengan menyalahguna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah.

Sementara itu, Johari berkata, buat pertama kali, persidangan Kamar Khas akan diadakan di Dewan Persidangan bermula hari ini bagi memberi keselesaan kepada Ahli Parlimen, pegawai, pelawat dan media.

Beliau juga menggalakkan Ahli Parlimen menjemput pelawat dari kawasan masing-masing untuk melihat sendiri persidangan Kamar Khas, sama ada di Parlimen atau menonton siaran langsung di saluran Youtube Parlimen Malaysia.

“Hal ini disebabkan terdapat isu-isu yang dibangkitkan di Kamar Khas bersifatkan isu setempat di kawasan Parlimen Ahli Yang Berhormat,” katanya.

Johari juga merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia 5 Disember lalu.