LIVERPOOL: Fokus minggu ini akan tertumpu kepada Mohamed Salah apabila pemain sayap itu kembali ke Anfield, dengan masa depannya di Liverpool masih menjadi tanda tanya.
Salah menamatkan kempen Piala Negara-Negara Afrika pada Sabtu lalu apabila Mesir tewas kepada Nigeria menerusi penalti dalam perlawanan tempat ketiga.
Sementara itu Sadio Mane memenangi kejuaraan bersama Senegal dalam final yang penuh kontroversi menentang tuan rumah Maghribi.
Penyerang Mesir berusia 33 tahun itu dijangka tiba di Merseyside menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Marseille, namun belum pasti sama ada beliau akan diturunkan dalam perlawanan kedua terakhir peringkat liga itu.
Situasi ini nampaknya mungkin dijawab melalui status rakan sepasukan Mesirnya di Manchester City, Omar Marmoush, yang disenaraikan dalam skuad untuk perlawanan menentang Bodo/Glimt di Norway awal pagi esok.
Dengan Liverpool mempunyai tambahan 24 jam untuk persiapan menentang Marseille, kemungkinan besar Salah akan termasuk dalam skuad, tetapi pengumuman rasmi hanya akan dibuat hari ini.
Kemasukan Salah ke dalam skuad boleh bergantung kepada rundingan beliau dengan pengendali, Arne Slot berikutan isu masa depannya yang hangat selepas kenyataan kontroversi bulan lalu.
Salah menuduh Liverpool cuba menyingkirkannya selepas disenaraikan di bangku simpanan dalam tiga perlawanan berturut-turut, dan mendakwa hubungannya dengan Slot mula retak.
Bagaimanapun, Slot dilaporkan cuba memperbaiki hubungan itu apabila Salah kembali disenaraikan menentang Brighton, selepas dikeluarkan daripada skuad menentang Inter Milan beberapa hari sebelumnya.
Salah turut memberi bayangan bahawa perlawanan menentang Seagulls mungkin adalah yang terakhir baginya untuk Liverpool.
Slot mengesahkan beliau mengadakan perbincangan dengan Salah sebelum kepulangannya.
“Kami sedang berbincang dengan beliau mengenai apa yang kami harapkan di sini. Sama ada dia akan tersedia menentang Marseille, itu perkara yang sedang dibincangkan.
“Saya gembira dia kembali kerana Mo sangat penting untuk kelab ini. Walaupun saya mempunyai 15 penyerang, saya tetap gembira jika dia kembali, tetapi itu bukan situasi semasa kami.
“Saya gembira dapat menurunkannya selepas dia mengharungi perlawanan penting untuk Mesir,” kata Slot. – AGENSI

