Kerajaan Syria setuju gencatan senjata dengan pasukan Kurdi

HASAKEH: Kerajaan Syria dan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diketuai Kurdi semalam bersetuju terhadap gencatan senjata baru.

Langkah itu dibuat selepas tentera Syria menghantar bantuan tambahan ke wilayah Hasakeh dan pasukan Kurdi menarik diri dari kem Al-Hol yang menempatkan ribuan orang dengan kaitan atau disyaki kaitan dengan kumpulan IS, termasuk wanita dan kanak-kanak asing.

Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan gencatan senjata selama empat hari bermula malam Selasa.Sementara itu, SDF menyatakan mereka komited terhadap gencatan senjata dan bersedia melaksanakan perjanjian Ahad lalu.

Gencatan senjata itu membuka jalan bagi rundingan lanjut mengenai perjanjian antara Presiden Ahmed al-Sharaa dan ketua SDF, Mazloum Abdi, yang termasuk menggabungkan pentadbiran Kurdi ke dalam kerajaan Syria.

SDF pernah menguasai kawasan luas di utara dan timur Syria dengan bantuan koalisi antarabangsa pimpinan AS untuk menentang IS.

Namun, mereka kini menarik diri dari wilayah majoriti Arab seperti Raqa dan Deir Ezzor selepas tentera kerajaan meningkatkan operasi ketenteraan.

Di Hasakeh, penduduk Kurdi termasuk wanita dan warga tua dilihat membawa senjata bagi menyokong SDF dan mengawal pos pemeriksaan.

Salah seorang pejuang berkata: “Kami berjanji akan melindungi rakyat kami sehingga akhir.”Kem Al-Hol, kem terbesar di timur laut Syria, menempatkan lebih 24,000 orang, termasuk ribuan warga asing.

Tentera Syria bersedia mengambil alih kawalan kem itu dan semua tahanan IS.

Abdi menegaskan bahawa kawasan Kurdi adalah “garis merah” dan mesti dilindungi.

SDF juga menggesa negara lain supaya mengambil kembali warganya yang berada di kem itu, walaupun kebanyakan hanya dipulangkan sedikit demi sedikit.

Kekecohan berlaku di sempadan Syria-Turkiye apabila polis menahan penunjuk perasaan pro-Kurdi yang marah dengan serangan tentera Syria.

Puluhan Kurdi dari Kurdistan Iraq juga menuju ke Syria untuk menyertai perlawanan.

Nadia Murad, mangsa Yazidi Iraq yang pernah diperhambakan oleh IS, mengecam pengabaian dunia terhadap Kurdi Syria.