SHAH ALAM: Wanita mangsa doktor estetika tidak bertauliah hingga terpaksa menanggung kesan sampingan akibat rawatan diterima pada 2019 menerima pampasan lebih RM100,000.
“Saya terpaksa menanggung kesakitan sehingga sekarang, sudah hampir tujuh tahun,” kata wanita berusia 33 tahun itu.
Pendandan rambut itu menderita selepas menjalani prosedur pembedahan membesarkan payudara (breast filler) di sebuah pusat kecantikan di Damansara Perdana, Petaling Jaya, yang tidak mengikut prosedur dan beroperasi tanpa tauliah sah.
Ganti rugi berjumlah lebih RM100,000 daripada pemilik pusat kecantikan itu diputuskan Mahkamah Sesyen Sivil di sini, kelmarin selepas menang dalam kes saman berkenaan.
Berkongsi pengalamannya, wanita itu mendakwa tertarik dengan tawaran diberikan syarikat kecantikan yang mengadakan promosi di tempatnya bekerja, tujuh tahun lalu.
Menurutnya, dia bersama rakan sekerja kemudian ke pusat kecantikan itu dan mendengar penerangan sebelum bersetuju melakukan prosedur membesarkan payudara dengan harga kira-kira RM2,000.
“Ketika itu, saya ingatkan ia hanya rawatan biasa untuk wanita. Saya pula masih muda dan kurang pengetahuan mengenai rawatan kecantikan.
“Jadi, saya percaya dengan penerangan diberikan dan jalani prosedur itu. Selepas itu saya rasa sakit dan demam selama beberapa hari sebelum ambil keputusan ke hospital.
“Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan saya mengalami jangkitan dalam darah dan komplikasi daripada prosedur itu,” katanya ketika ditemui di lobi Mahkamah Shah Alam di sini, hari ini.
Lebih memburukkan keadaan, wanita itu mendakwa isian di dalam badannya sudah merebak dan tidak boleh dibuang, menyebabkan dia perlu menanggung kesakitan sehingga kini.
“Walaupun dapat ganti rugi, ia tidak boleh ‘bayar’ apa saya hadapi iaitu sakit yang akan kekal selamanya,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak kelayakan dan memastikan pusat kecantikan berdaftar sebelum menjalani sebarang prosedur kosmetik serta tidak takut atau malu untuk mengambil tindakan sekiranya menjadi mangsa.
Sementara itu, peguam Jason Wee yang mewakili wanita itu berkata, anak guamnya memfailkan tuntutan ke atas pemilik tunggal syarikat berkenaan atas kecuaian menjalankan satu prosedur kecantikan.
Beliau berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, Emilia Kaswati Mohamad Khalid, memutuskan bahawa anak guamnya berjaya dalam tuntutan membabitkan ganti rugi am berjumlah RM80,000; ganti rugi teladan (RM30,000) dan ganti rugi khas (RM4,259.10).

