Indonesia teruskan SAR kesan 80 lagi mangsa tanah runtuh ragut 10 nyawa

BANDUNG: Pihak berkuasa Indonesia menyambung semula operasi mencari dan menyelamat (SAR) 80 mangsa yang dilaporkan hilang selepas tanah runtuh mengorbankan 10 nyawa di kawasan perumahan di wilayah Jawa Barat.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) melaporkan seramai 23 orang disahkan terselamat dalam tanah runtuh itu, yang turut menjejaskan 113 orang daripada 34 keluarga.

Tanah runtuh itu berlaku kira-kira jam 2.30 pagi semalam waktu Indonesia Barat, ketika kebanyakan penduduk masih nyenyak tidur.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Bandung Barat, Asep Sehabudin, berkata ia dicetuskan oleh hujan lebat yang melanda kawasan Cisarua sejak petang Jumaat lalu.

Sisa tapak pertanian yang musnah selepas kejadian tanah runtuh melanda Kampung Pasirlangu, Bandung, Jawa Barat, Indonesia. – Foto AFP
Sisa tapak pertanian yang musnah selepas kejadian tanah runtuh melanda Kampung Pasirlangu, Bandung, Jawa Barat, Indonesia. – Foto AFP

Tragedi yang berlaku awal pagi kelmarin itu dikhuatiri mungkin berulang kerana hujan lebat masih berterusan dan penduduk setempat diminta kekal berjaga-jaga.

Agensi cuaca Indonesia memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan sehingga seminggu lagi di wilayah berkenaan serta beberapa kawasan lain.

BNPB memaklumkan bahawa wilayah Bandung Barat kini berada dalam status amaran kecemasan berikutan banjir, banjir kilat, cuaca melampau dan tanah runtuh.

Status itu berkuat kuasa bermula 1 Oktober 2025 hingga 30 April 2026. Selain itu, Kerajaan Wilayah Jawa Barat turut mengisytiharkan Status Amaran Kecemasan Bencana Hidrometeorologi yang berkuat kuasa sehingga 30 April 2026.

Seorang penduduk, Dedi Kurniawan, 36, berkata kejadian itu adalah yang terbesar pernah disaksikannya di Kampung Pasir Langu, kawasan berbukit kira-kira 100 kilometer (km) di tenggara Jakarta.

Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Kampung Pasirlangu, Bandung, Jawa Barat, Indonesia. – Foto AFP
Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Kampung Pasirlangu, Bandung, Jawa Barat, Indonesia. – Foto AFP

“Biasanya, kami hanya berdepan banjir kecil dari sungai berhampiran, tetapi kali ini tanah runtuh datang dari kawasan hutan,” katanya kepada Reuters.

Usaha menyelamat berdepan kesukaran semalam apabila keadaan tanah yang tidak stabil serta hujan berterusan menghalang penggunaan jentera berat, lapor Kompas TV dengan memetik pihak berkuasa.

Beberapa kejadian banjir turut dilaporkan di Jawa Barat, termasuk di Jakarta. Keadaan itu memaksa penduduk di kawasan terjejas berpindah ke tempat lebih tinggi atau kawasan yang tidak terjejas.

Tanah runtuh itu berlaku dua bulan selepas banjir dan tanah runtuh akibat taufan di Pulau Sumatera yang meragut 1,200 nyawa, memusnahkan kediaman serta menyebabkan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal. – AGENSI