KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 syarikat dikesan menggunakan akaun bank bagi kegiatan penipuan dengan 111 laporan polis berhubung kes itu dimasukkan ke pangkalan data Semakmule CCID dalam tempoh sebulan hingga 15 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata senarai itu didahului syarikat JMC (M) Trading Venture dan JMC Top Trading dengan 20 laporan polis diterima.
Katanya, 16 laporan polis pula diterima ke atas syarikat CVC Grow Star Sdn Bhd.
“Selain itu, 15 laporan diterima membabitkan syarikat KGI HK Sdn Bhd; masing-masing 13 laporan membabitkan Luluk Sempurna Renovation Sdn Bhd dan Rosnitah Mewah Trading Sdn Bhd; Aura Evergreen Management Sdn Bhd dan Aura Evergreen Premier Sdn Bhd (12); masing-masing 11 laporan bagi Titan Union Trading Sdn Bhd dan WWF Global Enterprise.
“Jangan mudah percaya iklan di media sosial yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa singkat kerana ia ciri utama pelaburan tidak wujud.
“Gunakan portal Semakmule, sebelum melakukan sebarang transaksi untuk menyemak nombor talian atau akaun bank serta nama syarikat,” katanya dalam kenyataan hari, ini.
Rusdi berkata, status syarikat bukan jaminan walaupun syarikat atau perniagaan berdaftar di SSM, ia mungkin digunakan sebagai ‘akaun keldai’.
Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati jika pelaburan ditawarkan mempunyai ciri mencurigakan termasuk janji meraih untung luar biasa dan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
“Selain itu, orang ramai perlu berwaspada dengan aplikasi pelaburan bukan daripada stor rasmi yang dimuat turun melalui pautan (link) pihak ketiga.
“Ia termasuk ciri pindahan wang ke akaun ketiga seperti arahan memasukkan modal pelaburan dalam akaun bank milik syarikat atau perniagaan (mahupun individu) yang berbeza-beza dan bukannya akaun rasmi platform pelaburan itu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, senarai syarikat atau nombor akaun yang ada laporan polis boleh disemak dalam pangkalan data Semakmule CCID.
“Orang ramai juga boleh semak menerusi ‘Investor Alert List’ yang dikemas kini secara berkala oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) dan boleh dicapai di laman sesawang sc.com.my/investor-alert,” katanya.

