Lima kelab England sudah tahu lawan di pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara

LONDON: Kelab-kelab England dalam saingan Liga Juara-Juara sudah mengetahui bakal lawan mereka di pusingan 16 terakhir selepas lima daripada mereka menamatkan fasa liga dalam kelompok lapan terbaik untuk layak secara automatik.

Arsenal, Liverpool, Tottenham, Chelsea dan Manchester City semuanya mara ke pusingan 16 terakhir, manakala Newcastle menjadi satu-satunya kelab England yang perlu mengharungi peringkat playoff.

Dalam penamat fasa liga yang penuh drama, Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) terpaksa melalui playoff, Napoli tersingkir sepenuhnya, sementara penjaga gol Benfica, Anatoliy Trubin, menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-98 untuk memastikan pasukan kendalian Jose Mourinho kekal dalam kejohanan.

Newcastle pula seri 1-1 menentang PSG dan kini perlu berdepan Monaco atau Qarabag dalam perlawanan timbal balik pada bulan depan bagi menentukan sama ada mereka dapat menyertai kelab-kelab Liga Perdana Inggeris yang lain.

Jika mereka berjaya mara ke pusingan 16 terakhir, mereka akan bertemu sama ada Barcelona atau Chelsea.

Arsenal pula akan menentang Atalanta, Bayer Leverkusen, Borussia Dortmund atau Olympiacos di pusingan 16 terakhir selepas menamatkan fasa liga di tempat teratas.

Pasukan kendalian Mikel Arteta menewaskan kelab dari Kazakhstan, Kairat 3-2 di Emirates untuk menjadi kelab pertama yang memenangi kesemua lapan perlawanan fasa liga sejak format baharu diperkenalkan musim lalu.

Liverpool dan Tottenham akan menentang sama ada Juventus, Atletico Madrid, Club Brugge atau Galatasaray selepas menamatkan fasa liga di tempat ketiga dan keempat.

Pasukan kendalian Arne Slot membelasah Qarabag 6-0 di Anfield untuk meneruskan prestasi cemerlang mereka dalam Liga Juara-Juara, manakala Tottenham melaksanakan tugas di Frankfurt dengan kemenangan 2-0.

Chelsea akan berdepan PSG, Newcastle, Monaco atau Qarabag di pusingan 16 terakhir selepas meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Newcastle hasil dua gol Joao Pedro pada babak kedua.

Manchester City pula yang hanya layak ke pusingan 16 terakhir selepas menamatkan fasa liga di tempat kelapan akan menentang Real Madrid, Inter Milan, Bodo/Glimt atau Benfica di peringkat kalah mati selepas menewaskan Galatasaray 2-0.

Melihat lebih jauh dalam kejohanan, Arsenal dan Manchester City berada dalam segmen undian yang sama dan berpotensi bertembung di suku akhir.

Sementara itu, Liverpool dan Tottenham tidak akan bertemu antara satu sama lain pada peringkat tersebut, tetapi berkemungkinan berdepan Chelsea atau Newcastle.

Arsenal, Liverpool dan Tottenham semuanya memperoleh kelebihan bermain di laman sendiri pada perlawanan timbal balik kedua bagi pusingan 16 terakhir dan juga potensi suku akhir, hasil menamatkan fasa liga dalam kelompok empat teratas.

The Gunners juga akan beraksi di laman sendiri pada perlawanan kedua separuh akhir sekiranya mereka mara sejauh itu selepas menamatkan fasa liga dalam dua tempat teratas.

Pasukan lain yang menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik ialah Bayern Munich (tempat kedua), Barcelona (tempat kelima) dan Sporting Lisbon (tempat ketujuh), yang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-94 menentang Athletic Bilbao untuk mengesahkan kelayakan automatik serta memaksa Real Madrid ke peringkat playoff.

Mengelakkan peringkat playoff pada bulan depan satu kelebihan besar buat pasukan-pasukan berkenaan kerana ia memberi mereka lebih masa untuk pemulihan dan membuat persiapan. – AGENSI