Virus Nipah: Suruhanjaya Tinggi Malaysia nasihat rakyat melancong ke India digesa ambil langkah berjaga-jaga

NEW DELHI: Rakyat Malaysia yang melancong ke India dan mereka yang menetap di negara itu digesa supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan virus Nipah.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dalam kenyataan menasihatkan mereka yang melawat kawasan yang mempunyai laporan kes virus Nipah supaya memakai pelitup muka di tempat awam bagi mengurangkan pendedahan kepada titisan cecair serta mengelakkan kawasan sesak jika boleh.

Mereka juga diminta untuk mengekalkan kebersihan diri yang ketat, termasuk kerap mencuci tangan, dan mengelakkan makan buah-buahan yang tidak dibasuh atau makanan yang mungkin terdedah kepada pencemaran.

Suruhanjaya Tinggi akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan akan memberikan maklumat terkini jika perlu.

Warganegara Malaysia digalakkan untuk sentiasa maklum dan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang disyorkan demi kepentingan kesihatan dan keselamatan mereka, menurut nasihat itu.

Ia turut memberi amaran supaya tidak bersentuhan dengan haiwan yang sakit atau individu yang menunjukkan gejala seperti demam, sakit kepala, batuk, atau kesukaran bernafas.

Kementerian Kesihatan India mengesahkan dua kes Nipah di negeri bahagian timur, West Bengal.

Selasa lalu, dilaporkan wabak berkenaan telah berjaya dikawal.

Namun, wabak itu telah mendorong pihak berkuasa di banyak negara Asia, termasuk Malaysia, untuk mengambil langkah saringan terhadap pengembara yang tiba dari India.

Jangkitan virus Nipah adalah penyakit zoonotik yang menular kepada manusia daripada haiwan dan ia boleh merebak dalam kalangan orang ramai melalui makanan yang tercemar atau secara langsung melalui hubungan sesama manusia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Virus ini boleh mengeram di dalam badan manusia biasanya empat hingga 14 hari, dan tiada rawatan atau vaksin yang tersedia untuk manusia mahupun haiwan.