Penentuan pendapatan minimum pekerja gig perlu dirunding dengan MPG – GEM

KUALA LUMPUR: Gabungan E-hailing Malaysia (GEM) menegaskan penentuan pendapatan minimum pekerja gig perlu dilakukan melalui rundingan berstruktur bersama Majlis Perundingan Gig (MPG) bagi memastikan keputusan adil, seimbang dan berpandukan realiti di lapangan.

Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal, berkata sebagai wakil kepada komuniti pemandu dan penghantar e-hailing di seluruh negara, kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan yang menegaskan perbezaan struktur pekerjaan gig berbanding pekerjaan konvensional adalah langkah lebih munasabah dan realistik.

Katanya, kadar gaji minimum RM1,700 yang disebut sebelum itu hanyalah rujukan bagi pekerja konvensional, manakala pekerja gig memerlukan formula pendapatan khusus melalui mekanisme yang sah dan telus.

“Kami menyarankan isu ini dirunding secara berstruktur melalui MPG yang bersifat tripartit, membabitkan kerajaan, wakil pekerja gig dan entiti platform.

“Pendekatan ini memastikan suara pekerja gig didengar secara rasmi dan keputusan yang dicapai adalah adil, seimbang serta berpaksikan situasi sebenar di lapangan.

“Kami percaya bahawa ruang perundingan melalui MPG memberi peluang terbaik kepada semua pihak berkepentingan untuk membincangkan

formula pendapatan minimum yang mengambil kira kos sara hidup,nvariasi lokasi, jenis perkhidmatan serta kelestarian ekosistem gig secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Ramanan berkata, kadar gaji minimum nasional sebanyak RM1,700 kekal menjadi dasar asas, manakala pengendalian gaji penghantar tertakluk kepada platform masing-masing.

Beliau turut menolak cadangan menetapkan satu kadar harga lantai seragam bagi semua platform kerana ia menekan platform e-hailing yang masih bergelut untuk membuat keuntungan selain terdapat keperluan mengekalkan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan perniagaan.

Dalam pada itu Jose turut menggesa semua pihak supaya memberi kepercayaan dan ruang kepada Majlis Perundingan Gig untuk melaksanakan peranannya sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang, demi kepentingan jangka panjang pekerja gig dan kestabilan industri.

“GEM kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kementerian Sumber Manusia dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kebajikan, perlindungan dan masa depan pekerja gig terus diperkukuh selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI,” katanya.