WASHINGTON: Rumah Putih akan berbincang mengenai pelaksanaan rang undang-undang (RUU) kripto yang tergendala, dalam pertemuan bersama eksekutif industri perbankan dan syarikat mata wang kripto, Isnin ini.
Sumber industri berkata, sidang kemuncak anjuran majlis kripto Rumah Putih itu akan dihadiri eksekutif beberapa kumpulan perdagangan.
Perbincangan itu, katanya, akan menumpukan kaedah RUU itu mengurus faedah dan ganjaran lain yang boleh diberikan syarikat kripto ke atas pegangan pelanggan dalam token dipautkan kepada dolar, dikenali sebagai stablecoin.
Pertemuan di Rumah Putih itu berpotensi membantu kedua-dua industri bersaing secara langsung terhadap RUU berkenaan mencapai kesepakatan dan menekankan tekad pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meluluskan cadangan akta terbabit.
Trump, yang meraih sokongan penyokong kripto ketika kempen pilihan raya, menjanjikan usaha menggalakkan penggunaan aset kripto.
Rumah Putih bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Blok Rantai mewakili syarikat kripto besar termasuk Coinbase, Ripple dan Kraken, Summer Mersinger, berkata kumpulan itu ‘berbangga untuk menyertai pertemuan itu’.
“Kami bersedia untuk terus bekerjasama dengan pembuat dasar di kedua-dua pihak supaya Kongres dapat memajukan RUU struktur pasaran berkekalan dan memastikan AS kekal sebagai pusat kripto dunia,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif The Digital Chamber, Cody Carbone, satu lagi kumpulan perdagangan kripto utama, pula memuji Rumah Putih kerana ‘menyatukan semua pihak ke meja rundingan’.
Senat berusaha menyediakan RUU dikenali Akta Kejelasan, bertujuan mewujudkan peraturan Persekutuan bagi aset digital, hasil daripada beberapa tahun usaha melobi industri kripto.
Syarikat kripto sekian lama berhujah, peraturan sedia ada tidak mencukupi untuk aset digital dan penggubalan undang-undang penting supaya syarikat dapat terus beroperasi secara jelas di AS.
Dewan Perwakilan pada Julai lalu, meluluskan versi RUU berkenaan.
Jawatankuasa Perbankan Senat dijadualkan untuk membahaskan dan mengundi RUU itu awal bulan ini, tetapi pertemuan terbabit ditangguhkan pada saat akhir.
Ini sebahagiannya akibat kebimbangan dalam kalangan ahli legislatif dan kedua-dua industri mengenai isu faedah.
Sementara itu, dua lagi sumber berkata, terdapat perbezaan pendapat mengenai peruntukan stablecoin dalam RUU itu dalam kalangan Republikan dan Senator yang mengetuai usaha cadangan akta terbabit bimbang ia tidak akan mendapat undi mencukupi untuk diteruskan.
Bagi syarikat kripto, pemberian ganjaran seperti faedah adalah penting untuk menarik pelanggan baharu, selain ia akan menjejaskan persaingan, jika mereka dilarang berbuat demikian.
Bank pula berkata peningkatan persaingan boleh menyebabkan pemberi pinjaman diinsuranskan mengalami pengeluaran deposit secara besar-besaran yang menjadi sumber pembiayaan utama bagi kebanyakan bank dan berpotensi mengancam kestabilan kewangan.
Laporan Standard Chartered pada Selasa lalu, menganggarkan stablecoin boleh menarik kira-kira AS$500 bilion (RM$1.96 trilion) deposit daripada bank di AS menjelang akhir 2028.
Peruntukan dipertikaikan itu berpunca daripada undang-undang diluluskan tahun lalu, yang mewujudkan rangka kerja kawal selia Persekutuan untuk stablecoin, berpotensi membuka jalan kepada penggunaan lebih meluas.
RUU itu melarang penerbit stablecoin membayar faedah ke atas mata wang kripto, tetapi bank berkata ia meninggalkan ruang yang membolehkan pihak ketiga seperti bursa kripto, membayar pulangan ke atas token, sekali gus mewujudkan persaingan baharu bagi deposit. – REUTERS

