WASHINGTON: Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris, mengaktifkan dan menjenamakan semula salah satu akaun media sosial utama bagi kempen presidennya dalam usaha menggerakkan pengundi muda.
Tindakan itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan pencalonan semula ke Rumah Putih.
“Saya benar-benar teruja dengannya,” kata bekas calon Demokrat yang tewas pada pilihan raya 2024 itu menerusi satu video yang dimuat naik di akaun baharu dinamakan @headquarters_67 merujuk kepada meme belia “6-7”.Di TikTok, akaun berkenaan menggunakan nama ringkas @headquarters.
Akaun di platform X itu, yang sebelum ini dikenali sebagai KamalaHQ, tidak aktif sejak 5 November 2024, iaitu hari pilihan raya yang dimenangi oleh Donald Trump.
Harris berkata, kandungan akaun itu akan menyediakan maklumat kepada golongan muda dan menonjolkan beberapa pemimpin berani serta hebat termasuk pegawai dipilih dan tokoh masyarakat sivil.
Beberapa tinjauan pendapat menunjukkan Harris berada di tangga teratas senarai calon Parti Demokrat berpotensi bagi pilihan raya presiden 2028, mengatasi Gabenor California Gavin Newsom dan calon lain.
Kem Trump bagaimanapun melancarkan serangan terhadap kebangkitan semula akaun media sosial Harris itu.
“Mengeluarkan Kamala lebih kerap ke khalayak ramai memang apa yang diperlukan Demokrat,” tulis jurucakap Rumah Putih Abigail Jackson secara sinis di X.
“Oh, kamu semua mahu lebih banyak penderitaan?” tulis akaun rasmi Trump War Room di platform sama selepas akaun Harris secara samar-samar memberi bayangan beliau akan kembali aktif tidak lama lagi.
Sejak beberapa bulan lalu, Harris menjelajah Amerika Syarikat (AS) bagi mempromosikan bukunya “107 Days”, merujuk kepada tempoh singkat kempen presidennya pada 2024 selepas Joe Biden menarik diri pada 21 Julai.
Dalam buku itu, wanita pertama yang memegang jawatan Naib Presiden AS, meluahkan kekecewaan terhadap bekas bosnya, Biden dan kelompok terdekatnya.
Harris baru-baru ini mengumumkan bahawa jelajah promosinya akan diteruskan pada 2026, yang ditafsirkan oleh beberapa pemerhati politik sebagai isyarat awal kepada satu lagi percubaan untuk bertanding sebagai Presiden.

