Man City berdepan ‘sumpahan Anfield’

LONDON: Manchester City berdepan cabaran besar untuk menamatkan ‘sumpahan Anfield’ ketika Arsenal berpeluang mengukuhkan cengkaman kejuaraan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.

Arsenal boleh melangkah lebih hampir kepada gelaran liga pertama sejak musim 2003-04 jika menewaskan Sunderland di Emirates esok.

Kemenangan itu akan melebarkan jurang kepada sembilan mata, sehari sebelum pencabar terdekat mereka, Manchester City, berkunjung ke Anfield.

Ketika ini, Arsenal mendahului carta dengan kelebihan enam mata.

Aston Villa masih kekal sebagai pasukan terbaik di belakang dua teratas, namun kemerosotan prestasi skuad kendalian Unai Emery membuka ruang kepada Manchester United, Chelsea dan Liverpool untuk merapatkan jurang dalam perebutan slot Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Kegagalan City mempertahankan kelebihan dua gol ketika seri 2-2 menentang Tottenham minggu lalu menyempitkan ruang kesilapan mereka dalam perebutan kejuaraan.

Walaupun Sunderland mempamerkan musim pertama yang memberangsangkan selepas kembali ke liga utama, Arsenal dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengutip tiga mata, sekali gus memberi tekanan awal kepada City.

Rekod City di Anfield juga tidak memihak kepada mereka. Satu-satunya kemenangan City di gelanggang Liverpool sejak tahun 2003 berlaku pada 2021, ketika stadium kosong akibat sekatan pandemik Covid-19.

Prestasi hambar City di tempat lawan musim ini menambahkan keraguan mereka mampu memecahkan rekod buruk itu.

Kedua-dua pasukan memiliki rekod laman sendiri yang hampir sama, namun perbezaan ketara hadir daripada pencapaian di tempat lawan.

Bagaimanapun, pengendali Liverpool, Arne Slot, mengingatkan bahawa City tetap ancaman besar, meskipun sudah tumbang 3-0 kepada pasukan itu awal musim ini.

“Itu sudah cukup menggambarkan betapa kuatnya City, digabungkan dengan pengalaman kami menentang mereka. City tetap satu kuasa besar,” kata Slot.

Di belakang Arsenal dan City, perebutan slot Liga Juara-Juara semakin sengit, dengan senario tiga daripada empat pasukan berpotensi layak.

Prestasi cemerlang kelab Inggeris di pentas Eropah hampir pasti memastikan kedudukan kelima juga cukup untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Hanya tujuh mata memisahkan Villa di tempat ketiga dengan Liverpool di tangga keenam.

Villa, yang sebelum ini mencabar secara konsisten, kini tertekan selepas kalah dua perlawanan berturut-turut di laman sendiri kepada Everton dan Brentford.

Krisis kecederaan di bahagian tengah menyaksikan John McGinn, Youri Tielemans dan Boubacar Kamara terpaksa diketepikan.

Villa wajib kembali ke landasan kemenangan ketika bertandang ke Bournemouth, manakala United dan Chelsea juga berusaha meneruskan momentum positif masing-masing.

United melayan kunjungan Tottenham dengan misi meraih kemenangan keempat berturut-turut sejak Michael Carrick mengambil alih tugas, manakala Chelsea berkunjung ke padang Wolves yang menghuni tangga tercorot.

Dua pasukan yang sedang bergelut, Crystal Palace dan Brighton, akan bertemu dalam satu lagi perlawanan tumpuan.

Palace belum menang dalam 12 perlawanan liga dan sudah memecahkan rekod perpindahan kelab dua kali pada jendela musim sejuk, membelanjakan lebih 80 juta pound untuk mendapatkan Jorgen Strand Larsen dan Brennan Johnson dalam usaha mengelak terjerumus ke zon penyingkiran.

Palace ketika ini memiliki kelebihan sembilan mata di atas zon penyingkiran, namun jurang itu boleh mengecil kepada enam mata sebelum sepak mula jika West Ham menang menentang Burnley.

Brighton pula hanya dua mata di hadapan Palace selepas menang satu daripada 11 perlawanan liga terakhir, sekali gus memadamkan impian mereka untuk bersaing ke pentas Eropah.