Qabil Irfan kuasai sesi ujian Moto4 Asia Cup

KUALA LUMPUR: Qabil Irfan Azlan tidak menunggu lama untuk mencuri tumpuan apabila mendominasi hampir keseluruhan ujian rasmi Kejuaraan Moto4 Asia Cup 2026 yang melabuhkan tirainya hari ini di Litar Antarabangsa Sepang.

Pelumba muda negara berusia 14 tahun itu tampil konsisten sepanjang 11 sesi ujian sejak semalam apabila mencatat masa terpantas dalam lapan sesi, selain satu kedudukan kedua dan satu di tempat kelapan.

Walaupun gagal menamatkan sesi terakhir berbentuk perlumbaan simulasi, prestasi Qabil tetap mengatasi dua lagi wakil negara, Qayyim Razin Razali dan Naqib Rifqi Zulhelmi, yang turut menunjukkan peningkatan daripada setiap sesi disertai.

Qayyim memperagakan prestasi meyakinkan apabila meraih dua catatan kedua terpantas pada sesi awal semalam, sebelum muncul terpantas pada sesi simulasi pertama hari ini.

Sementara itu, Naqib mencatat pencapaian terbaiknya apabila berada di kedudukan ketiga terpantas pada sesi pertama semalam.

Namun, dari segi catatan terpantas keseluruhan, Qabil terpaksa berpuas hati di tangga kedua selepas merekodkan masa 2 minit 16.766 saat (s), di belakang pelumba Jepun, Kotaro Togashi, yang mencatat masa terpantas 2:16.698s.