MONTERREY: Polis Mexico akan dibantu sekumpulan robot anjing bagi menangani jenayah sempena Piala Dunia 2026 pada musim panas ini, menurut pihak berkuasa semalam.
Robot anjing itu direka untuk memasuki kawasan berbahaya dan menyiarkan rakaman video secara langsung kepada pasukan keselamatan serta mampu memantau keadaan sebelum mengambil tindakan sepanjang kejohanan bola sepak berkenaan.
Piala Dunia 2026 akan berlangsung daripada 11 Jun hingga 19 Julai ini yang dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Robot berkenaan direka dengan kos AS$145,000 (kira-kira RM570,502) oleh Majlis Perbandaran Guadalupe, sebahagian daripada kawasan metropolitan Monterrey yang akan menjadi tuan rumah satu daripada venue Piala Dunia.
Rakaman video yang dikeluarkan kerajaan tempatan menunjukkan satu daripada robot anjing berjalan menggunakan empat kaki di dalam sebuah bangunan terbiar dan menaiki tangga walaupun berdepan sedikit kesukaran.
Robot anjing itu turut dilihat menghantar imej secara langsung kepada sekumpulan pegawai polis yang bergerak secara senyap dibelakangnya.
Dalam demonstrasi berkenaan, robot anjing itu berdepan seorang lelaki bersenjata dan mengarahkannya supaya meletakkan senjata menggunakan pembesar suara.
Datuk Bandar Guadalupe, Hector Garcia, berkata tujuan penggunaan robot anjing itu adalah untuk menyokong anggota polis dalam pencegahan awal bagi melindungi keselamatan fizikal pegawai.
“Robot anjing berkenaan akan dikerahkan sekiranya berlaku sebarang kekecohan,” katanya.
Stadium BBVA yang dikenali sebagai Estadio Monterrey sepanjang kejohanan dijadualkan menjadi tuan rumah empat perlawanan. – AFP

