Pemandu Myvi dipercayai microsleep rempuh maut penunggang, 5 kenderaan

MELAKA – Terlelap seketika atau microsleep dipercayai menjadi punca pemandu sebuah Perodua Myvi merempuh lima kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut di sini petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 2 petang di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Bukit Baru sebelum pemandu lelaki berusia 35 tahun itu memasuki ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi berkenaan yang datang dari arah Bandar Melaka menghala ke Bukit Beruang dipercayai terlelap seketika.

“Akibatnya, kenderaan dipandu lelaki itu yang bekerja sebagai pekerja logistik memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh tiga buah motosikal dan dua buah kereta.

“Rempuhan mengakibatkan seorang penunggang motosikal jenis Honda EX5 dikenali Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala, muka, badan dan tangan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, dua lagi penunggang motosikal masing-masing mengalami kecederaan di kaki, pemandu Proton Saga luka di dahi dan sakit di bahu, sementara pemandu BMW tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Keadaan jalan ketika kejadian adalah baik, cuaca cerah dan siasatan awal mendapati pemandu Myvi yang terselamat hanya melecet di siku dipercayai mengalami microsleep.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Christopher berkata, keputusan ujian pernafasan dan ujian saringan dadah terhadap pemandu Myvi tersebut didapati negatif, namun sampel darah telah diambil untuk ujian toksikologi.

Menurutnya, polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka daripada saksi bebas yang berada di belakang Myvi terbabit bagi membantu siasatan.

“Kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Balai Polis Malim sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) Alor Gajah untuk pemeriksaan teknikal.

“Pemandu Myvi akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette