KOTA TINGGI – Seorang wanita dan bayinya berusia tiga bulan maut selepas kereta dipandunya kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 65 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 7.20 malam melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza dengan lori jenis Hino.
“Kemalangan melibatkan Perodua Bezza dipandu wanita tempatan berusia 24 tahun dengan lori jenis Hino dipandu lelaki tempatan berusia 60 tahun.
“Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila kereta dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan lalu bertembung lori.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu Perodua Bezza iaitu seorang wanita mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang bayi berusia tiga bulan yang turut berada dalam kenderaan itu pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata, empat lagi penumpang Perodua Bezza serta pemandu lori kini menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
Katanya, mayat mangsa l dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- MalaysiaGazette

