Projek Pusat Data: Pengarah, pengarah urusan didakwa beri rasuah RM2.402 juta

SHAH ALAM – Seorang pengarah dan pengarah urusan syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas empat dan enam pertuduhan memberi suapan berjumlah RM1.352 juta dan RM1.05 juta kepada pengurus kontrak sebuah syarikat pembinaan di Petaling Jaya, antara 2024 dan 2025.

Tertuduh, Seow Kian Ang, 52 dan Yong Chun Jiat, 37, yang dituduh secara berasingan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Pengarah syarikat sistem keselamatan, Seow Kian Ang, 52 diiring polis selepas didakwa memberi rasuah RM1.352 juta bagi mendapatkan tender di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Seow Kian Ang secara rasuah memberi suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM1.352 juta kepada pengurus kontrak sebuah syarikat pembinaan melalui seorang individu di sekitar Petaling Jaya pada s1 Ogos 2024, 26 Disember 2024, 23 April 2025 dan 10 Julai 2025.

Ia sebagai upah membantu syarikat sistem keselamatan miliknya untuk mendapatkan tender kerajaan “Subkontraktor untuk Reka Bentuk, Perancangan, Bekalan, Penghantaran, Pemasangan, Pengujian, Pentauliahan, Jaminan dan Penyelenggaraan Komprehensif Sistem Keselamatan.

Sementara itu, bagi enam pertuduhan yang dihadapi Yong Chun Jiat pula, dia secara rasuah memberi suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM1.050 juta kepada pengurus kontrak sebuah syarikat pembinaan melalui seorang individu di sekitar Petaling Jaya pada 5 Ogos dan 9 November 2024 serta 5 Januari, 16 Februari, 18 Mac dan 18 Mei 2025.

Ia sebagai upah membantu syarikat penyelesaian elektrik dan instrumentasi milik Yong Chun Jiat untuk mendapatkan tender kerajaan “Subkontraktor untuk Reka Bentuk, Perancangan, Bekalan, Penghantaran, Pemasangan, Pengujian, Pentauliahan, Jaminan dan Penyelenggaraan Komprehensif Kerja-kerja Elektrik Voltan Rendah (Pakej LV Luaran).

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun; dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan Datuk Geethan Ram.

Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan jaminan kepada setiap tertuduh sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Tertuduh juga perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan dan syarat tambahan iaitu tidak tertuduh tidak mengganggu saksi iaitu pekerja di syarikat masing-masing,” kata Farah Ezlin.

Bagaimana pun peguam Sivananthan dan Geethan merayu agar mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan yang munasabah atas alasan tertuduh memberi kerjasama baik dan hadir ke pejabat SPRM memberi keterangan sebelum tanpa gagal.

“Sebelum ini tertuduh dipanggil lima kali ke SPRM untuk memberi keterangan, malah kesemuanya dipenuhi, tertuduh tidak melarikan.

“Cadangan pihak pendakwaan agar tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan tidak munasabah kerana tertuduh pasport yang diserahkan merupakan satu jaminan dia tidak menyembunyi dan melarikan diri,” kata Sivananthan.

Hakim Mohd Nasir kemudiannya menetapkan masing-masing tertuduh dengan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah tanpa perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah turut menetapkan 16 Mac 2026 sebagai tarikh sebutan kes tersebut. – MalaysiaGazette