KOTA TINGGI – Suami kepada isteri dan bayi lelakinya yang terkorban dalam nahas di Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi semalam tidak dapat membayangkan perasaan apabila melihat kedua-duanya tersepit dalam kereta selepas kejadian.
Muhammad Asyraf Yatim, 34, terkedu dan tidak mampu membantu selain pilu melihat keadaan isteri dan anak-anaknya ketika itu.
Semasa kejadian dia tidak mengikut isterinya ke bandar Kota Tinggi yang memandu kereta dan pergi ke bandar bersama-sama tiga anaknya.
Menurutnya, isteri, Nor Balqis Yazid, 24, anaknya, Mohd Bilal Asyraf berusia tiga bulan sertai dua anak lain berada dalam kereta berkenaan.
Dia dimaklumkan mengenai nahas yang menimpa isteri dan anaknya itu pada pukul 7 malam daripada rakan.
“Ketika itu sya berada di rumah di Felda Air Tawar 2 di sini. Saya terus bertolak ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer. Sebaik tiba, saya tidak mampu menahan sebak.
“Saya keluar dari kereta dan cuba mendekati isteri namun tidak dapat memangku atau membantu kerana dia tersepit di dalam kenderaan.
“Luluh hati saya, isteri bersama-sama bayi kami pergi selamanya ketika berbaki lagi seminggu Ramadan. Dua lagi anak kami masih di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi hari ini.
Dalam kejadian di Kilometer 65 Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi pada pukul 7 malam itu, kereta Perodua Bezza dipandu Nor Balqis bersama-sama lima penumpang termasuk tiga anaknya terbabit nahas dengan sebuah lori.
Nor Balqis meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd Bilal meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi.
Bercerita lanjut, dia berkata, semasa berada di tempat kejadian, dua anak perempuan mereka yang berusia lapan dan empat tahun dan Mohd Bilal berusia tiga bulan sudah dibawa ke hospital.
“Saya kemudian bergegas ke hospital. Mohd Bilal ketika itu masih bernyawa dan terpaksa dibantu dengan oksigen namun akhirnya menghembuskan nafas terakhir.
“Dua lagi masih dirawat di HSI kerana mengalami kecederaan.
“Mereka kini ditempatkan di zon merah di mana yang sulung mengalami pendarahan di kepala manakala anak kedua mengalami pendarahan di bahagian perut,” katanya.
Muhammad Asyraf memberitahu, arwah isteri sempat berpesan untuk makan malam bersama-sama di luar apabila urusan di bandar sudah selesai.
“Mereka keluar ke bank di bandar Kota Tinggi dulu dan singgah makan. Isteri sempat berpesan supaya datang makan bersama-sama sekitar pukul 8 malam.
“Saya cukup sedih apabila mengenangkan hasrat isteri yang mahu mengenakan pakaian sedondon berwarna perang pada pagi raya tidak kesampaian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jakim Sufian, 16, rakan kepada arwah Nor Balqis tidak menyangka ajakan arwah bersama-sama seorang lagi rakan mereka untuk keluar makan bersama-sama petang semalam berakhir dengan insiden itu.
“Kawan sekerja kami yang bersama-sama arwah dalam kereta itu ada menghubungi saya kira-kira pukul 5.30 petang untuk mengajak keluar makan bersama.
“Tapi masa itu saya menolak sebab baru bangun tidur. Kami memang kerap keluar makan bersama-sama lebih lebih lagi pada waktu cuti.
“Namun tidak sampai satu jam, sepupu menghubungi memaklumkan arwah dan rakan terlibat dalam kemalangan dan arwah meninggal dunia,” katanya yang menyifatkan arwah seorang kakak yang sangat peramah dan baik. – MalaysiaGazette

