KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun menegaskan tiada jaminan tempat automatik buat mana-mana pemain untuk beraksi di Piala Dunia Sepak Takraw 2026, Mei depan meskipun mereka bergelar juara pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Menurutnya, penilaian menyeluruh terhadap prestasi semasa setiap pemain akan dilakukan secara teliti sebelum keputusan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.
“Kita belum lagi menyenaraikan pemain yang akan memikul cabaran pada kejohanan Piala Dunia nanti. Mungkin dalam beberapa bulan lagi sebelum kejohanan bermula, kita akan mula menyenaraikan pemain.
“Walaupun mereka berjaya jadi juara di Sukan SEA, itu bukan tiket automatik untuk berada dalam pasukan kebangsaan bagi kejohanan Piala Dunia.
“Mereka seharusnya meningkatkan lagi prestasi dari semasa ke semasa kerana pemain muda yang akan kita panggil juga mempunyai cita-cita untuk menggantikan pemain senior,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Skuad Sepak Takraw Kebangsaan sempena kejayaan di Thailand, malam tadi.
Ahmad Jais turut menyifatkan perebutan tempat antara pemain senior dan muka baharu sebagai satu persaingan sihat yang mampu melonjakkan lagi kualiti permainan skuad negara.
Ditanya mengenai muka baharu, Ahmad Jais mengesahkan antara enam hingga sembilan pemain sedang dalam pemantauan berdasarkan prestasi mereka sepanjang musim 2025.
“Namun, kita tunggu mesyuarat JKK dulu sebelum umumkan secara rasmi pemain yang kita lihat mempunyai potensi besar,” katanya.
Terdahulu, pada majlis anjuran PSM dengan kerjasama rakan rasmi Telekom Malaysia (TM) itu, setiap pemenang pingat emas Sukan SEA termasuk jurulatih diraikan dengan pemberian syiling emas peringatan 999 eksklusif.
Skuad negara melakar sejarah di Thailand tahun lalu dengan membawa pulang dua pingat emas dan dua gangsa (chinlone) termasuk menamatkan kemarau 34 tahun untuk muncul juara dalam acara regu berpasukan lelaki.

