Presiden Indonesia akan sertai mesyuarat Lembaga Keamanan pertama Trump

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, akan menghadiri mesyuarat sulung Lembaga Keamanan anjuran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Washington bulan ini, menurut Kementerian Luar Jakarta.

Lembaga yang dipengerusikan oleh Trump itu pada asalnya bertujuan untuk memantau pembangunan semula Semenanjung Gaza selepas dua tahun peperangan, namun piagamnya dilihat melangkaui wilayah Palestin berkenaan.

Indonesia, yang kini dalam proses merundingkan perjanjian perdagangan dengan Washington, berkata bahawa pihaknya sedia menghantar tentera ke Gaza sebagai sebahagian daripada pelan sokongan AS bagi menamatkan perang Israel-Hamas.

Prabowo menghadiri pelancaran Lembaga Keamanan bulan lalu di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, bersama ketua-ketua negara dan pegawai kanan yang lain. Sehingga kini 19 negara telah menyertai inisiatif itu.

Mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung pada 19 Februari di Washington.

“Kerajaan telah menerima jemputan ke mesyuarat sulung Board of Peace, dan Presiden Prabowo Subianto merancang untuk hadir,” kata jurucakap kementerian luar, Vahd Nabyl Achmad Mulachela kepada AFP.

Menurut jurucakap kementerian itu lagi, Indonesia akan menggunakan Board of Peace untuk berusaha mencapai keamanan yang adil dan mampan di bawah penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin.

Indonesia juga akan memperjuangkan perlindungan orang awam serta menggalakkan pemulihan dan pembinaan semula Gaza, tambahnya.

Keahlian tetap Lembaga Keamanan dikenakan bayaran bayaran sebanyak AS$1 bilion (RM4.3 bilion), sekali gus mengundang kritikan bahawa lembaga itu boleh menjadi versi bayar-untuk-serta (pay-to-play) bagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Indonesia bagaimanapun belum mengesahkan sama ada ia akan membayar yuran keahlian tetap itu.

Setiausaha Kabinet negara itu minggu lalu menyatakan bahawa keahlian Indonesia adalah tidak tetap dan boleh menarik diri pada bila-bila masa.

Indonesia adalah penyokong kuat kemerdekaan Palestin dan secara konsisten menggesa penyelesaian dua negara.

Pihak tentera minggu ini menyatakan kesediaan untuk menghantar sehingga 8,000 anggota ke Gaza jika penempatan Pasukan Penstabilan Antarabangsa yang dicadangkan itu disahkan.

Jurucakap kementerian pertahanan, Rico Ricardo Sirait, berkata pada Selasa bahawa belum ada keputusan muktamad berhubung jumlah anggota tentera atau tarikh penempatan mereka.

Beliau berkata, anggota tentera Indonesia akan memberi tumpuan kepada sokongan pembinaan semula dan perkhidmatan kesihatan di Gaza.

“Pada dasarnya, Indonesia bersedia untuk menyumbang kepada usaha keamanan dan kemanusiaan,” kata Rico. – AFP