KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan sahamnya.
Azam berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
“Semua pengisytiharan kewangan dan harta dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa serta melalui saluran rasmi yang ditetapkan, sebagaimana yang diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.
“Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadinya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi.
“Malah, saya ingin menegaskan bahawa sebagai seorang penjawat awam dan ketua kepada agensi penguatkuasaan, saya percaya bahawa mana-mana individu yang berhadapan dengan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka dan bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.
“Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim,” katanya.
Azam berkata, SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan mana-mana pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang serta fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah.
“Tiada siapa berada di atas undang-undang dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata.
“Sepanjang perkhidmatan saya, saya kekal komited terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
“Saya akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme yang sah dan ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara ini,” katanya.
Azam berkata, beliau yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas.

