KUCHING: Seorang lelaki yang dikhuatiri tidak sedarkan diri di dalam kren pembinaan setinggi 54 meter di Tunku Putra-HELP School, The Northbank, Jalan Kuching Samarahan Expressway, Tabuan Jaya, malam tadi, rupa-rupanya tidur di dalam kren berkenaan.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.16 malam memaklumkan seorang pekerja binaan yang dipercayai masih berada di dalam kren dan gagal dihubungi.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada kejadian yang terletak lima kilometer dari balai jam 9.25 malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, menurut maklumat awal, mangsa dikenali sebagai Walsh Jawi, 41, dikhuatiri tidak sedarkan diri di dalam kren berkenaan selepas gagal dihubungi oleh pengurus tapak pembinaan.
“Pengurus tapak memaklumkan mangsa sepatutnya turun dari kren pada jam 5 petang, namun usaha menghubunginya melalui telefon dan ‘walkie talkie’ tidak berhasil sebelum pihak bomba dipanggil bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi pada jam 9.30 malam, anggota melakukan ‘size up’ dan mendapatkan maklumat lanjut daripada pengurus tapak.
“Keadaan hujan renyai-renyai selain tangga kren yang sempit dan licin meningkatkan risiko operasi, menyebabkan penilaian risiko dibuat dengan teliti sebelum dua anggota peninjau diarahkan naik pada jam 10.30 malam.
“Dua anggota berkenaan tiba di platform pertama pada ketinggian 17 meter pada jam 11.04 malam sebelum meneruskan pendakian ke paras 39 meter pada jam 11.22 malam,” katanya.
Beliau berkata, dua anggota terbabit berjaya sampai ke platform setinggi 54 meter pada jam 11.46 malam dan mendapati mangsa berada dalam keadaan selamat.
“Siasatan lanjut mendapati berlaku salah faham komunikasi antara mangsa dan pengurus tapak apabila lelaki itu sebenarnya merancang untuk bermalam di di dalam kren sehingga pagi.
“Bagaimanapun, dia tidak memaklumkan perkara itu serta tidak menjawab panggilan telefon dan walkie talkie,” katanya.

