Laporan bomba sahkan wanita, anak angkat rentung akibat sengaja dibakar

BAYAN LEPAS – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengesahkan kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Butterworth pada 10 Disember lalu adalah perbuatan sengaja dibakar.

Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya sudah melengkapkan siasatan dan menyerahkan laporan penuh kebakaran tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada awal Januari lalu untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah lengkapkan siasatan berhubung kejadian itu dan laporan itu juga sudah diserah kepada PDRM bagi tindakan lanjut. Dalam siasatan itu didapati memang sengaja dibakar, jadi kita serah kepada polis bagi tindakan,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Op Siaga Raya 2026 sempena Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri di pusat beli-belah Queensbay di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita bersama anak angkatnya ditemukan rentung, manakala seorang lagi lelaki yang juga anak mangsa cedera dalam kebakaran kira-kira jam 9.41 pagi membabitkan sebuah rumah berkembar kelas A dengan anggaran kemusnahan 85 peratus.

Mangsa, Hayani Yaakob, berusia 50-an, dan anak angkatnya, Andra, 6, ditemui rentung di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama.

Susulan kejadian itu, polis menahan anak lelaki kepada wanita terbabit yang berusia 20-an dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Shoki berkata, seramai 670 pegawai dan anggota JBPM Pulau Pinang akan bertugas sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina.

Katanya, sebanyak 20 peratus cuti pegawai dan anggota turut dibekukan bermula seminggu sebelum perayaan sehingga seminggu selepasnya bagi memastikan kesiapsiagaan jabatan dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang sering berlaku ketika musim perayaan.

“Ia adalah bagi memastikan kesiapsiagaan JBPM dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang sering berlaku semasa musim perayaan.

“Jadi kita nasihati supaya berhati-hati terutama ketika cuaca panas dan kering ini selain memastikan peralatan elektrik ditutup sepenuhnya sebelum meninggalkan rumah,” katanya. – MalaysiaGazette