LONDON: Pemain tengah Arsenal, Declan Rice berkata pasukannya tidak boleh terganggu dengan perbincangan mengenai Manchester City yang semakin menghampiri di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas The Gunners sekadar seri 1-1 di Brentford, awal pagi tadi.
City kini hanya ketinggalan empat mata di belakang skuad kendalian Mikel Arteta dan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri apabila kedua-dua pasukan bertemu pada April depan.
Arsenal memburu kejuaraan liga pertama dalam tempoh 22 tahun dan dilihat berada di landasan mudah apabila mendahului sembilan mata pada Sabtu lalu.
Namun kebangkitan lewat City untuk meraih kemenangan 2-1 di Liverpool sehari kemudian mungkin menjadi titik perubahan dalam perebutan kejuaraan
Anak buah Pep Guardiola mengekalkan momentum dengan menewaskan Fulham 3-0 pada pertengahan minggu, manakala Arsenal gagal memberikan tindak balas.

Noni Madueke meletakkan pelawat di depan di barat London, namun Brentford bangkit menerusi Keane Lewis-Potter dan bernasib malang apabila gagal meraih tiga mata penuh dalam 20 minit terakhir.
“Ia satu musim seperti rollercoaster. Anda tidak boleh naif dan fikir ia akan mudah,” kata pemain antarabangsa England, Rice.
“Kami menentang pasukan terbaik setiap minggu. Kami perlu terus mendesak dan percaya kepada diri sendiri, kawal apa yang boleh kami kawal.
“Kami perlu abaikan bunyi bising di luar. Kami lakukan perkara itu dengan baik. Orang akan bercakap mengenai perebutan kejuaraan, tetapi kumpulan ini amat tenang.
“Saya tidak naif untuk fikir Brentford mudah ditewaskan. Mereka antara pasukan terbaik liga dan prestasi terkini membuktikannya. Ia satu mata dalam perjalanan kami, tetapi kami mahu menang.”

Arteta pula kecewa dengan cara pasukannya hilang kawalan permainan selepas permulaan positif pada babak kedua.
“Kami kurang tenang untuk mengekalkan penguasaan bola, bermain di kawasan yang betul. Kami mula menghadiahkan banyak sepakan percuma yang tidak perlu,” katanya.
Kekuatan Arsenal daripada situasi bola mati banyak membantu mereka berada di kedudukan terbaik memburu gelaran namun mereka bergelut mengekang kelebihan Brentford daripada situasi sama.
“Mereka memang amat bagus dalam aspek itu, jadi pujian buat mereka,” kata Arteta.
“Mereka heret anda ke dalam permainan seperti kasino. Apa sahaja boleh berlaku dan sesuatu yang buruk boleh terjadi!” – AFP

