Pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang melepasi paras psikologi RM4 sedolar awal 2026 menjadi tumpuan dalam naratif ekonomi negara. Selepas mengukuh 10.2 peratus pada 2025, mata wang tempatan menunjukkan daya tahan luar biasa di tengah ketidaktentuan global. Namun, apakah sebenarnya pemacu di sebalik momentum positif ini? Adakah ia sekadar faktor luaran semata atau hasil reformasi domestik yang konsisten.
Pengarang Ekonomi BH, Kamarulzaidi Kamis dan wartawan BH, Mahanum Abdul Aziz mendapatkan penjelasan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengenai faktor menyumbang kepada pengukuhan ringgit, kesannya kepada sektor eksport serta manfaat kepada rakyat Malaysia.

Soalan (S): Berapakah kadar pengukuhan ringgit pada 2025 dan apakah faktor utamanya?
Jawapan (J): Ringgit mengukuh sebanyak 10.2 peratus. Pengukuhan ini didorong dua faktor utama iaitu faktor luaran (global) dan faktor domestik (dalam negara).
S: Apakah faktor luaran yang menyumbang kepada kenaikan ini?
J: Terdapat dua sebab utama iaitu penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan sentimen pelaburan yang positif. Apabila AS mula menurunkan kadar faedah mereka, nilai mata wang kita secara relatifnya akan meningkat. Begitu juga dengan nilai mata wang negara lain turut meningkat.
Faktor luaran kedua ialah sentimen pelaburan yang positif sejajar jangkaan ekonomi global akan berkembang dengan baik berikutan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membuat semakan semula jangkaannya bagi pertumbuhan ekonomi dunia kepada 3.2 peratus bagi 2025 pada Oktober berbanding 3.0 peratus pada bulan Julai. Ini memberi sokongan positif terhadap sentimen pelaburan.
S: Apakah faktor domestik membezakan Malaysia dengan negara lain dengan mencatatkan pengukuhan nilai ringgit yang lebih tinggi?
J: Faktor domestik yang memberikan kelebihan dan membezakan prestasi ringgit berbanding mata wang negara lain. Pelabur melihat Malaysia serius melaksanakan reformasi dalam aspek fiskal, pelaburan dan pasaran buruh. Defisit fiskal dikurangkan secara berperingkat dan dasar ekonomi diselaraskan dengan lebih terancang. Apa yang diumumkan, itulah yang dilaksanakan. Ini meningkatkan kepercayaan pelabur. Apabila pelabur yakin, mereka membawa masuk modal. Inilah yang menyumbang kepada aliran masuk dana dan mengukuhkan ringgit. Seterusnya, adalah kestabilan dan kredibiliti dasar monetari BNM. Malaysia tidak kerap menukar dasar secara mengejut. Konsistensi ini sangat penting bagi pelabur.
Walaupun ketika nilai ringgit menyusut sebelum ini, Malaysia tidak memperkenalkan kawalan modal secara mengejut atau mengenakan peraturan yang menyukarkan pelabur dan pengeksport.
BNM mahu pastikan tiada volatiliti berlebihan
S: Apakah pendekatan yang diambil bagi memastikan pelabur dan pengeksport terus menyokong ringgit?
J: Pendekatan yang diambil ialah berbincang dan bekerjasama dengan pelabur, pengeksport dan pengimport. Sepanjang 2024 hingga 2025, lebih daripada 200 sesi libat urus diadakan bagi menjelaskan kepentingan membawa pulang hasil eksport dan pendapatan luar negara ke Malaysia. Pendekatan ini membina kepercayaan. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan aliran dana dua hala dalam pasaran pertukaran asing tempatan, BNM melaksanakan Program Syarikat Pelabur Pemastautin yang Berkelayakan (QRI), yang memberikan fleksibiliti untuk mereka yang layak membawa pulang pendapatan dan menukarnya kepada ringgit. Mereka juga diberikan fleksibiliti jika mahu mengeluarkannya semula. Ini mewujudkan aliran dua hala yang sihat, ada aliran masuk dan ada aliran keluar.
S: Adakah usaha ini menunjukkan hasil pada pasaran tukaran asing tempatan?
J: Ya, hasilnya peningkatan dalam kecairan pasaran dan aliran pertukaran yang lebih seimbang. Purata nilai dagangan harian pasaran tukaran asing tempatan meningkat kepada AS$19.8 bilion (RM77.4 bilion) sehari pada 2025 berbanding AS$17.6 bilion (RM68.8 bilion) pada 2024. Ini mencerminkan keyakinan yang semakin kukuh terhadap pasaran Malaysia.

S: Adakah tinjauan pertumbuhan ekonomi negara yang cerah turut menyumbang kepada pengukuhan ringgit?
J: Prospek ekonomi kita yang cerah juga menarik pelabur untuk terus melabur di negara ini. Ini juga menjadi faktor domestik yang membezakan kita dengan orang lain. Dengan langkah pembaharuan bagi memastikan asas kita kukuh ini akan menyediakan sokongan yang berterusan kepada ringgit. Kestabilan politik turut membantu meningkatkan keyakinan pelabur. Di samping itu, usaha terselaras antara BNM, kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga turut membantu melalui pendapatan yang diperoleh pelaburan di luar negara dibawa pulang oleh GLC dan GLIC.
S: Adakah pengukuhan ringgit menjejaskan sektor pelancongan?
J: Dari segi pelancongan, setakat ini, kita tidak nampak kesannya. Kedatangan pelancong masih tinggi kerana Malaysia mempunyai banyak tarikan unik di samping kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
S: Bagaimana pula kesan terhadap sektor eksport? Adakah ia terjejas apabila mata wang mengukuh?
J: Walaupun ringgit mengukuh 10.2 peratus pada tahun lalu, eksport kasar kita meningkat sebanyak 6.5 peratus berbanding peningkatan 5.8 peratus pada 2024. Justeru, ini menunjukkan bahawa walaupun ringgit mengukuh, eksport kita masih berdaya tahan, eksport kita masih meningkat. Ia berikutan permintaan tinggi dalam sektor elektrik & elektronik (E&E) yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI). Pengeksport Malaysia juga tidak lagi bergantung kepada nilai mata wang untuk menjadi kompetitif, sebaliknya fokus kepada keupayaan pengeluaran yang mantap, tahap integrasi yang kukuh dalam rantaian bekalan global dan teknologi.
S: Bagaimana pengeksport melindung nilai daripada risiko turun naik ringgit?
J: Pengeksport boleh menggunakan instrumen lindung nilai secara ‘natural’ iaitu menjual barang dalam denominasi mata wang asing. Justeru pendapatan dalam mata wang asing digunakan untuk perbelanjaan asing. Selain instrumen lindung nilai secara ‘natural’ itu, mereka boleh membeli produk kewangan lindung nilai daripada bank untuk melindungi kesan pergerakan mata wang.
S: Apakah manfaat langsung pengukuhan ringgit kepada rakyat?
J: Rakyat dapat menikmati kos yang lebih murah untuk barangan import, kos pelancongan ke luar negara lebih rendah dan pengurangan kos pendidikan anak-anak di luar negara.
S: Bagaimana kesannya kepada harga barang?
J: Pengukuhan ringgit sepatutnya memberi kesan kepada penurunan harga barang import, namun kesannya tidak berlaku serta-merta dan mengambil sedikit masa. Selain itu, perubahan harga biasanya kecil. Malah ketika ringgit menyusut sebelum ini, kesannya terhadap harga import juga tidak begitu besar. Terdapat beberapa contoh penurunan harga, walaupun sukar untuk membezakan sama ada ia berpunca sepenuhnya daripada pengukuhan ringgit atau faktor lain seperti cuaca, persaingan dan kos pengangkutan. Contohnya, harga bawang import yang ditunjukkan dalam aplikasi Price Catcher Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kita melihat pada awal 2025, harga barang bawang import dari India adalah RM5.20 sekilogram. Namun, harga terkini sudah turun kepada RM4. Pengguna boleh menyemak harga melalui platform Price Catcher KPDN bagi membandingkan harga antara premis dan melaporkan sekiranya terdapat ketidakpatuhan, sekali gus membantu memastikan ketelusan harga.
S: Adakah BNM menetapkan sasaran tertentu untuk nilai ringgit?
J: Kami tidak menyasarkan paras tertentu bagi ringgit dan nilainya ditentukan oleh pasaran. Keutamaan BNM adalah memastikan tiada volatiliti berlebihan dan pasaran berfungsi secara teratur, termasuk memastikan kecairan mencukupi dalam pasaran pertukaran asing. Kestabilan ini penting bagi membantu rakyat dan perniagaan merancang kewangan serta pelaburan dengan lebih yakin, sejajar dengan keyakinan pasaran, kemasukan pelaburan asing dan prospek ekonomi negara.

