CIA keluarkan video baharu rekrut perisik di China

WASHINGTON: Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) memperluaskan usaha merekrut perisik di China dengan menerbitkan sebuah video baharu, khusus menyasarkan pegawai tentera yang tidak berpuas hati.

Video yang dijangka membangkitkan kemarahan Beijing itu dimuat naik ke saluran YouTube CIA, memaparkan watak rekaan iaitu seorang pegawai China yang membuat keputusan untuk menghubungi agensi perisikan AS.

Pegawai berkenaan terdorong berbuat demikian selepas menyimpulkan bahawa satu-satunya perkara yang dilindungi oleh pemimpin ialah kepentingan sendiri dan kuasa mereka dibina atas pelbagai pembohongan.”

Rakaman itu menunjukkan pegawai berkenaan berada bersama keluarganya di rumah, sebelum memandu melepasi sekatan jalan raya dalam hujan lebat.

Beliau kemudian mengeluarkan komputer riba di dalam kereta dan menaip sambil berkata: “Memilih jalan ini adalah cara saya memperjuangkan keluarga dan negara saya”.

Teks dalam bahasa Cina yang mengiringi video itu menggesa pendedahan maklumat mengenai kepimpinan China dan tenteranya, serta bidang-bidang lain.

“Adakah anda mempunyai maklumat mengenai pemimpin kanan China? Adakah anda seorang pegawai tentera atau mempunyai urusan dengan pihak tentera?

“Adakah anda bekerja dalam bidang perisikan, diplomasi, ekonomi, sains atau teknologi canggih, atau berurusan dengan individu dalam bidang-bidang ini?”

“Hubungi kami. Kami mahu memahami kebenaran,” menurut teks berkenaan, sambil menambah bahawa CIA boleh dihubungi secara selamat melalui perkhidmatan tersembunyi Tor.

Rayuan terbaharu berkaitan kegiatan perisikan itu dibuat selepas CIA menerbitkan beberapa video tahun lalu yang menurut Pengarahnya, John Ratcliffe, bertujuan merekrut pegawai China.

“Video-video ini adalah salah satu daripada banyak cara kami menyesuaikan kaedah operasi perisikan,” katanya.

Kementerian Luar China sebelum ini mengecam kandungan berkenaan sebagai provokasi politik secara terang-terangan.

Ia menyatakan Washington bukan sahaja memfitnah dan menyerang China secara berniat jahat, malah secara terbuka memperdaya dan memancing kakitangan China supaya membelot. – AFP