KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tiga negeri hingga 10 pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan amaran cuaca itu membabitkan Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin).
Keadaan sama juga diramal melanda Johor (Mersing) dan Sarawak (Kuching, Samarahan, Bintulu dan Miri (Subis).
MetMalaysia memaklumkan, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh satu jam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, jumlah mangsa banjir di daerah Kinta di Perak berkurangan kepada 11 orang daripada lima keluarga setakat jam 8 pagi ini, berbanding 26 orang daripada 10 keluarga semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Kampung Tengku Hussein, Manjoi.
“Kesemua mereka adalah mangsa daripada Kampung Manjoi dan Kampung Tengku Hussein,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut memaklumkan terdapat dua sungai yang berada pada tahap bahaya di daerah Hilir Perak dan Muallim.
“Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras 3.95 meter (m), manakala Sungai Slim di Slim River pula mencatatkan 25.46m,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan pagi ini di beberapa daerah di Perak membabitkan Larut, Matang, Selama, Manjung, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.

