KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih ganjaran keseluruhan AS$1.3 juta (RM6.2 juta) hasil penyertaan cemerlang dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) setakat ini musim ini selepas mara ke pusingan 16 terakhir.
Kemaraan itu disahkan menerusi kemenangan 1-0 ke atas Vissel Kobe di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi dengan Marcos Guilherme muncul wira apabila meledak gol tunggal perlawanan.
Menurut laporan ASEAN Football, jumlah AS$1.3 juta itu diperoleh menerusi beberapa komponen utama termasuk bayaran penampilan sebanyak AS$800,000 (RM3.1 juta).
Selain itu, Harimau Selatan turut mengaut AS$300,000 (RM1.2 juta) hasil tiga kemenangan di peringkat kumpulan, dengan setiap kemenangan bernilai AS$100,000.
Tiga kemenangan itu diraih ke atas Vissel Kobe (1-0), Chengdu Rongcheng (2-0) dan Shanghai Shenhua (3-1) sepanjang kempen ACLE.
JDT juga menerima tambahan AS$200,000 (RM780,000) sebagai ganjaran layak ke pusingan 16 terakhir.
Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk hasil tajaan, nilai hak penyiaran serta bentuk subsidi lain yang diterima sepanjang saingan berlangsung.
Ganjaran berkenaan dilihat sebagai suntikan moral dan kewangan yang signifikan buat skuad kendalian Xisco Munoz, memperkukuh kedudukan JDT sebagai kuasa utama bola sepak Asia Tenggara.

