Bangunan bersejarah, Panggung Bandaraya usang, ditumbuhi pokok

KUALA LUMPUR: Bangunan Panggung Bandaraya yang berusia lebih 100 tahun kini dilihat usang, malah terdapat pokok tumbuh menjalar serta beberapa bahagian tingkap cermin juga pecah.

Pelajar Universiti Malaya (UM), Sarah Munirah Azmi, 22, menyifatkan bangunan Panggung Bandaraya yang diwartakan sebagai bangunan warisan itu kini dilihat seperti tidak terurus.

Beliau berkata, ia berbeza dengan bangunan terletak di sebelahnya iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad yang menjalani pemuliharaan oleh kerajaan.

“Bangunan Sultan Abdul Samad sudah cantik tetapi ada pula bangunan di sebelahnya yang tak cantik dan tidak terurus.

“Lagipun bangunan ini di tengah bandaraya Kuala Lumpur, mestilah orang luar nak tengok Kuala Lumpur dan Malaysia bagaimana. Jadi, bangunan seperti ini kena terurus,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sarah berkata, kerajaan perlu membaikpulih dan memulihara bangunan Panggung Bandaraya ini kerana ia diklasifikasikan antara 22 bangunan awam diwartakan sebagai bangunan warisan di bawah Akta Antikuiti.

“Dengan baik pulih, rakyat boleh kenal dan mengetahui lebih mendalam mengenai bangunan bersejarah yang ada di Malaysia.

“Jika kita lihat di negara luar, mereka amat menjaga kawasan atau tempat bersejarah supaya rakyat mereka boleh belajar dan mengetahui lebih lanjut, sekali gus mempromosikannya ke negara luar.

“Saya berpandangan, kerajaan perlu membaik pulih bangunan ini supaya ia dapat menarik pelancong asing datang ke Malaysia,” katanya.

KEADAAN di dalam bangunan Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang masih dalam keadaan usang. FOTO Ahmad Ukasyah.
KEADAAN di dalam bangunan Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang masih dalam keadaan usang. FOTO Ahmad Ukasyah.

Pekerja swasta, Amirul Hakim Bahauddin, 26, turut menyifatkan bangunan Panggung Bandaraya kini dilihat usang, selain ia ‘menyakitkan mata’ disebabkan tiada pemuliharaan dan baik pulih dilakukan.

Katanya, sekiranya bangunan ini dipulihara dan dibaik pulih semula, ia dapat menarik pelancong untuk datang bergambar seperti yang dapat dilihat menerusi pembukaan semula Bangunan Sultan Abdul Samad sejak 2 Februari lalu.

Selain itu katanya, bangunan Panggung Bandaraya ini juga mempunyai nilai estetika yang tersendiri.

Pelajar UNITAR, Siti Nur Asyiqin Mas Hayazi, 19, berkata, bangunan bersejarah sepatutnya tidak dibiarkan begitu sahaja sehingga ia ditumbuhi pokok dan adanya tingkap yang pecah.

Katanya, kerajaan seharusnya memulihara dan membaik pulih semula bangunan Panggung Bandaraya, sama seperti Bangunan Sultan Abdul Samad bagi memastikan ia terus hidup dan diingati orang ramai.