KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara memasuki fasa baharu apabila jurulatih berpengalaman, Mohd Zakry Abdul Latif memulakan tugas secara rasmi dengan sasaran melahirkan pasangan pelapis yang mampu merapatkan jurang dengan gandingan utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Hari pertama kembali ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas 15 tahun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) nyata memberi keterujaan tersendiri buat Zakry yang sebelum ini pernah menabur bakti sebagai pemain negara.
Beliau mengakui tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana kebanyakan pemain dan barisan kejurulatihan adalah wajah yang dikenalinya, malah ada antaranya pernah berada dalam satu generasi ketika bergelar pemain.
“Saya gembira dapat kembali ke BAM selepas 15 tahun. Rasa selesa sebab ramai pemain pernah bersama saya sebelum ini dan ada juga bekas rakan sepasukan. Jadi tidaklah terlalu janggal, cuma sekarang perlu lebih serius dengan tanggungjawab baharu,” katanya.
Mengulas mengenai kekuatan skuad sedia ada, Zakry melihat terdapat beberapa pasangan yang memiliki potensi besar untuk diketengahkan, namun mengakui jurang dengan Pearly-Thinaah ketika ini masih agak ketara.
Menurutnya, pasangan nombor satu negara itu berada pada tahap berbeza dan konsisten di peringkat tertinggi, menyebabkan kelompok pelapis perlu bekerja lebih keras untuk menghampiri standard berkenaan.
“Potensi memang ada. Ada beberapa pasangan yang sedang meningkat naik, cuma jurang dengan Pearly-Thinaah agak jauh kerana mereka berada di tahap tinggi. Insya-Allah dalam satu hingga dua tahun ini kita mahu lahirkan pasangan yang boleh rapatkan jurang itu,” katanya.
Zakry menjelaskan kebanyakan pemain dalam skuad ketika ini terdiri daripada kelompok pembangunan dan sandaran, sekali gus memerlukan masa serta pendedahan berterusan untuk benar-benar matang di pentas antarabangsa.
Pada hari pertama bertugas, beliau lebih menumpukan kepada proses pemantauan bagi mengenal pasti corak permainan, kekuatan serta kelemahan setiap pemain sebelum merangka pelan pembangunan yang lebih menyeluruh.

