Hina raja Thai: Hukuman penjara Arnon Nampa ditambah hampir 3 tahun lagi, keseluruhan kini lebih 30 tahun

BANGKOK: Mahkamah di Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara tambahan dua tahun lapan bulan ke atas seorang peguam dan aktivis yang sedang menjalani hukuman atas kesalahan menghina institusi diraja.

Hukuman terbaharu terhadap Arnon Nampa, 41, itu menjadikan keseluruhan tempoh pemenjaraannya kini lebih 30 tahun, menurut kenyataan kumpulan hak asasi manusia.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati beliau bersalah menghina monarki ketika menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan November 2020.

Arnon tokoh utama dalam gerakan protes prodemokrasi sebelum ini dijatuhi beberapa siri hukuman penjara di bawah undang-undang lese-majeste yang kontroversi di negara itu.

Undang-undang terbabit, yang termaktub dalam Seksyen 112 Kanun Keseksaan Thailand, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun bagi setiap pertuduhan terhadap mana-mana pihak yang didapati menghina Raja, Permaisuri, waris takhta atau pemangku Raja.

Sejak bermula protes besar-besaran pada 2020 menuntut reformasi terhadap institusi monarki yang berkuasa, ratusan aktivis termasuk kanak-kanak didakwa di bawah undang-undang berkenaan.

Arnon sebelum ini sering menegaskan bahawa tuntutannya untuk reformasi bertujuan memperkukuh sistem monarki berperlembagaan dan bukannya untuk menumbangkan institusi terbabit.

Bagaimanapun, pihak berkuasa dan kumpulan penyokong tegar monarki menyifatkan sebarang kritikan terbuka terhadap institusi itu sebagai ancaman kepada keselamatan negara.