NIBONG TEBAL: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sejumlah sisa plastik dan elektronik (e-waste) bernilai lebih RM3.37 juta yang diproses secara haram ketika serbuan di sebuah premis dalam daerah Seberang Perai Selatan, di sini, kelmarin.
Serbuan jam 11 pagi dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an yang dipercayai pemilik premis.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata siasatan awal mendapati, suspek menjadikan premis itu sebagai lokasi pemprosesan material plastik dan penyimpanan sisa elektronik tambahan tanpa kelulusan JAS dan MPSP.
“Premis ini bermula beroperasi sejak awal tahun 2025 dengan mendapatkan bekalan sisa plastik daripada kilang-kilang semikonduktor di kawasan sekitar.
“Pemeriksaan menemui pelbagai sisa elektronik yang disimpan dalam ‘jumbo bag’ serta tong drum yang mengandungi cecair minyak tercemar yang keseluruhannya bernilai lebih RM3.37 juta,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Balveer Singh berkata, premis itu digunakan untuk memproses bahan plastik dan bijian plastik yang telah diproses akan dieksport.
“Dalam operasi ini, MBSP juga telah mengeluarkan satu notis pemberhentian aktiviti perkilangan dan mengenakan kompaun RM500 kepada pengurus premis,” katanya.

